Berita Utama

30,000 isi rumah di KL bawah paras miskin bandar

‘Ada juga yang sudah kaya tak mahu keluar PPR’: Annuar Musa

PETALING JAYA, 19 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Kira-kira 30,000 ketua isi rumah di ibu negara tergolong dalam kategori bawah paras kemiskinan bandar.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya mengesan golongan itu di 178 lokaliti di sekitar Kuala Lumpur.

Perkara itu diakui berdasarkan pendapatan RM2,200 untuk seisi rumah, katanya

“Pendapatan sekitar RM2,200, kita anggap keluarga itu perlu mendapat bantuan.

“Di bandar (seperti di Kuala Lumpur), ia tidak dapat memenuhi keperluan yang asas seperti makan, pakai dan tempat tinggal,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, jumlah tepat ketua isi rumah bawah paras miskin bandar masih belum dikenal pasti.

“Ada pelbagai agensi yang melihat perkara ini seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

“Kita akan cuba selaras sebab ada lain-lain jumlah contohnya Jawi mempunyai 23,000 sasaran ketua keluarga, kita pun ada rekod lebih kurang sama.

“JKM kira-kira 13,000. Apa pun, ada juga dah kaya tak nak keluar Program Perumahan Rakyat (PPR). Kita ada kira-kira 63,000 rumah PPR,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button