Berita Utama

Agama Melayu: Siasatan terhadap Ibu Yati hampir selesai

Jika terdapat unsur ajaran sesat, JAIS mulakan proses pendakwaan

TUMPAT, 19 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Siasatan berhubung ajaran ‘Agama Melayu’ yang dikatakan dibawa oleh individu dikenali sebagai ‘Ibu Yati’ atau nama sebenar Wan Noor Hayati Wan Alias akan selesai dalam tempoh terdekat, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata kes itu diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) memandangkan ia berlaku di negeri berkenaan dan sehingga kini, siasatan sedang berjalan serta berada di peringkat akhir.

“Sebaik selesai penyiasatan oleh JAIS, kita akan buat pengumuman dan sekiranya siasatan mendapati wujud penyelewengan serta terdapat unsur ajaran sesat, JAIS akan mengambil tindakan lanjut termasuk proses pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Ahmad Marzuk berkata demikian kepada pemberita selepas hadir di majlis sumbangan bantuan Tabung Musaadah COVID-19 JAKIM-Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) di Hospital Tumpat di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan seunit dapur masak pelbagai guna bernilai RM65,000 kepada Hospital Tumpat untuk memudahkan tugasan memasak bagi keperluan pesakit COVID-19 di hospital itu.

Ahmad Marzuk turut menasihati orang ramai supaya tidak cepat menghukum seseorang individu hanya berdasarkan video yang tular.

“Soal menyeleweng akidah ini membabitkan kepakaran tertentu, bukan semua orang boleh menentukan sama ada ia menyeleweng atau tidak.

“Jadi, perkara ini perlu diserahkan kepada pihak berkuasa agama untuk menyiasat yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan berkaitan perkara itu minggu lepas setelah tular sebuah video memaparkan satu ritual yang agak asing bagi masyarakat orang islam sebelum menyerahkan kes tersebut kepada JAIS untuk membuat siasatan.

Media sebelum ini melaporkan pihak berkuasa sedang menyiasat dan meneliti tindakan sewajarnya berhubung isu agama baharu dikenali sebagai ‘Agama Melayu’ yang dikatakan menolak ajaran Islam.

Agama itu didakwa menggunakan lafaz syahadah yang pelik (ila ha ila ra ila ma) dan disambung dengan pengakuan ‘Aku Melayu’ sebanyak tujuh kali. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button