Berita Utama

Bimbang ramai tewas sementara tunggu vaksinasi bermula

Jangan sampai Malaysia dilabel negara lambat tangani pandemik

BANGI, 19 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Vaksin COVID-19 bukan seperti iklan ubat yang boleh menghilangkan kesakitan dalam tempoh singkat. 

Justeru, jika jumlah jangkitan tidak ditangani daripada sekarang, dibimbangi Malaysia memerlukan masa lebih lama sebelum mengawal kadar jangkitan di negara ini. 

Sehubungan itu, kerajaan perlu bertindak lebih proaktif daripada sekarang supaya kadar jangkitan dapat dikawal dari awal, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

“Saya berasa bimbang andai kerajaan terlalu bergantung kepada penggunaan vaksin yang masih diperingkat percubaan klinikal sedangkan kes ketika ini terus tinggi. 

“Kita tidak mahu lebih ramai yang tewas sementara menunggu program vaksinasi sepenuhnya bermula,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Ahmad Zahid berkata, beberapa pakar kesihatan dan ahli akademik di negara ini telah memberi pandangan mengenai fungsi vaksin COVID-19. 

“Mereka membayangkan vaksin bukanlah penyelesaian mutlak kepada usaha menamatkan sepenuhnya pandemik COVID-19. 

“Mereka kata vaksin itu berkesan mengelak seseorang mengalami kesan teruk jangkitan, namun itu tidak bermakna seseorang yang telah divaksin tidak boleh menjadi pembawa virus,” katanya. 

Ahli Parlimen Bagan Datok itu berkata, pakar juga menyatakan bahawa vaksin bukan bersifat menyembuh, sebaliknya bertujuan mencegah dan mengawal penyakit daripada menjadi lebih kritikal. 

“Mereka kata virus COVID-19 sesuatu yang baru dan kompleks, masih memerlukan kajian serta pengumpulan data jangka panjang untuk dibendung secara berkesan. 

“Mereka sependapat bahawa SOP seperti penjarakan sosiald an sebagainya masih perlu diteruskan walaupun selepas program suntikan vaksin secara menyeluruh bermula,” katanya. 

Atas sebab itu, Ahmad Zahid menggesa kerajaan memperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat serta golongan peniaga untuk bertahan. 

“Kita tidak mahu Malaysia dilabelkan salah sebuah negara yang lambat berjaya dalam menangani pandemik ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button