Berita Utama

COVID-19: 500 pasukan pemantau SOP digerak di Johor mulai esok

Periksa rumah pesakit diarah jalani kuarantin kendiri, asrama pekerja

JOHOR BAHRU, 19 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Polis Johor akan menambah pasukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 kepada 500 mulai esok bagi melakukan pemeriksaan khususnya di rumah mereka yang diarah menjalani kuarantin kendiri dan asrama pekerja.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pemantauan ketat perlu dilakukan susulan lonjakan kes COVID-19 di negeri itu khususnya dalam kalangan pekerja asing.

“Kita mahu pastikan yang mana sepatutnya diarah duduk rumah (kuarantin), duduk di rumah. Kita akan minta data daripada Kementerian Kesihatan (KMM) untuk kita buat semakan terhadap mereka yang kena duduk rumah,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan mengejut di kawasan asrama pekerja asing di Taman Air Biru, Pasir Gudang di sini hari ini.

Beliau berkata sebelum ini, hanya terdapat 241 pasukan pemantauan pematuhan SOP yang turut disertai agensi lain digerakkan di seluruh negeri itu.

“Jadi, kita tambah keanggotaan lagi menjadikan sehingga 500 pasukan mulai esok, dengan setiap pasukan dianggotai tiga orang yang diketuai seorang Inspektor polis bagi mengeluarkan kompaun,” katanya.

Ayob Khan berkata polis mempunyai kekuatan anggota yang mencukupi untuk melakukan pemantauan terbabit termasuk menggerakkan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button