Uncategorized

Guna tempoh darurat sempurnakan undang-undang syariah

Tanggungjawab ulul amri laksana tindakan berkaitan undang-undang, meskipun keadaan sukar

BANGI, 19 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Ruang yang ada ketika tempoh darurat ini mesti digunakan sebaiknya dalam menyempurnakan undang-undang syariah.

Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim berkata, meskipun berhadapan dengan keadaan sukar dan mencabar, ulul amri bertanggungjawab melaksanakan apa-apa juga tindakan berkaitan undang-undang.

Tambahan pula, katanya, suasana darurat adalah satu laluan mudah untuk mereka memperkasakan perkara yang menjadi keutamaan sama ada kepada agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

“Lebih-lebih lagi tindakan tersebut masih di dalam bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong, yang juga termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Para pemimpin parti mesti akur dan menjunjung apa apa yang termaktub didalam Perlembagaan Persekutuan. Ketaatsetiaan mesti ditunjukkan tanpa berbelah bahagi kepada payung agama iaitu Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, tempoh darurat ketika ini adalah peluang terbaik untuk membuat ordinan berkaitan hukum syarak tanpa perlu dibentangkan di Parlimen.

Beliau berkata, undang-undang baharu yang dibuat boleh terus dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Katanya, ini adalah masanya untuk perundangan Islam seperti Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) digubal tanpa perlu melalui Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Mengulas lanjut, Zamani berkata, memperkasa undang-undang syariah adalah antara matlamat untuk berkuasa.

Katanya, perjuangan setiap pemimpin dan parti politik mesti membawa agenda memperkasa serta melaksanakan undang-undang berkenaan.

“Pemimpin dan parti politik jangan tersasar dalam membawa agenda sebenar.

“Pemimpin dan parti politik yang rakus dengan jawatan dan kepentingan parti, sebenarnya telah jauh tersasar daripada neraca syarak itu sendiri,” jelasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button