Berita UtamaDunia

Hospital alami tekanan, Jepun dijangka lanjut tempoh darurat

Cara kerajaan tangani pandemik dikritik sebagai lambat, tak tetap

TOKYO, 19 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Jepun dijangka melanjutkan tempoh darurat untuk menangani penularan COVID-19 minggu ini, kerana hospital masih mengalami tekanan walaupun terdapat penurunan kes, lapor media tempatan, hari ini.

Penyiar awam NHK melaporkan, kerajaan akan memuktamadkan keputusan itu selepas mesyuarat panel pakarnya minggu ini.

Bulan lalu, kerajaan mengisytiharkan keadaan darurat selama sebulan, yang berakhir semalam, untuk 11 daerah termasuk Tokyo dan wilayah jirannya, sebahagian daripada langkah-langkah mengendalikan pandemik.

Perdana Menteri, Yoshihide Suga telah melancarkan beberapa langkah pencegahan gelombang jangkitan ketiga ketika kerajaannya bertekad menganjurkan Olimpik seperti dijadualkan pada 23 Julai.

Bagaimanapun, sokongan terhadap kerajaan semakin kurang kerana tidak gembira dengan kaedah menangani pandemik COVID-19 – yang disifatkan pengkritik sebagai terlalu lambat dan tidak tetap.

Kerajaan juga mungkin mempertimbangkan untuk menamatkan darurat di beberapa daerah tidak berpenduduk seperti Wilayah Tochigi, yang mengalami penurunan kes, lapor media tempatan.

Hasil tinjauan akhbar Nikkei mendapati 90 peratus responden lebih suka tempoh darurat di kawasan dikuatkuasakan, dilanjutkan.

NHK berkata, Jepun merekodkan sebanyak 390,687 kes COVID-19 dan 5,766 kematian.

Di Tokyo, sebanyak 633 kes baharu direkodkan semalam, iaitu di bawah paras 1,000 bagi tiga hari berturut-turut. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button