Berita Utama

Kes dera kanak-kanak di Malaysia pada tahap membimbangkan

Lapor jika dengar jeritan, ada kesan lebam akibat didera

BANGI, 19 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Kematian tragis seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun – dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya – memberi petanda bahawa kes penderaan kanak-kanak di negara ini sangat membimbangkan.

Terdahulu, bapa tiri kanak-kanak malang itu mendakwa bahawa anaknya mati lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya.

Bagaimanapun, siasatan polis mendapati terdapat kecederaan pada fizikal mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, hasil pemeriksaan fizikal pada kanak-kanak itu terdapat kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan.

Sehubungan itu, bagi memastikan insiden berkenaan tidak lagi berulang, semua pihak digesa memainkan peranan dengan mengambil tahu keadaan sekeliling.

Tidak dinafikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ada faktor-faktor yang mencetuskan gangguan atau ketidakstabilan emosi kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak.

Bagaimanapun keadaan itu boleh dibendung sekiranya ibu bapa menambah baik lagi ilmu keibubapaan, kata pakar pediatrik, Dr Anayasmin Azmi.

“Sebagai contoh, ramai yang menganggap disiplin ini menghukum secara fizikal. Tetapi sebenarnya kalau betul caranya tidak perlu pun hukuman fizikal itu.

“Jika kita tambah baik dari segi itu mungkin keharmonian antara anak dan ibu bapa boleh dibaiki,” katanya dalam Buletin Pertiwi, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Anayasmin berkata, pendedahan untuk kanak-kanak majoritinya 100 peratus dari individu yang mereka dikenali.

Oleh itu, guru ataupun jiran perlu memainkan peranan dengan memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya melihat kesan lebam akibat didera.

“Tapi sekarang ini (PKP) semua terkurung di rumah. Jeritan-jeritan apabila mereka (kanak-kanak) didera secara fizikal dan emosi, jiran perlu peka. Kita sebagai jiran tidak salah kalau buat laporan.

“Ramai yang bertanya dekat mana. Kita ada Talian Nur 1599. Walaupun kita lapor, identiti kita akan dirahsiakan dan mereka akan membuat penyiasatan.

“Jika tidak berlaku (penderaan), tiada masalah. Kalau berlaku, Alhamdulillah kita dapat selamatkan satu lagi nyawa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button