Berita Utama

Majoriti rakyat setuju pelaksanaan sistem pendidikan 1 aliran: EMIR Research

66 peratus mahu Sains, Matematik diajar dalam bahasa Inggeris

BANGI, 19 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Majoriti rakyat negara ini – khususnya orang Melayu dan Bumiputera – bersetuju supaya sistem pendidikan kebangsaan satu aliran dilaksanakan.

Menerusi tinjauan pendapat yang dilakukan EMIR Research pada Disember 2020, sejumlah 54 peratus responden bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Kajian yang melibatkan hampir 2,000 responden itu turut mendapati 31 peratus lagi mengakui tidak pasti dan 15 peratus tidak bersetuju dengan pelaksanan sistem pendidikan kebangsaan satu aliran.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Dr Rais Hussin berkata, responden yang tinggal di pedalaman lebih bersetuju dengan cadangan sistem pendidikan satu aliran berbanding responden di kawasan bandar.

“Responden Melayu dan Bumiputera memihak kepada sistem pendidikan satu aliran berbanding responden India.

“Pada masa sama, responden India lebih cenderung bersetuju dengan penyataan tersebut berbanding responden Cina,” katanya seperti dilapor Astro Awani, hari ini.

Selain itu, kajian juga mendapati majoriti responden iaitu 66 peratus mahu pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Sementara, 20 peratus menyatakan tidak pasti sementara 15 peratus lagi tidak bersetuju.

Rais berkata, responden yang berlatar pendidikan tinggi lebih cenderung bersetuju supaya pengajaran Sains dan Matematik dilaksanakan dalam bahasa Inggeris dan sistem pendidikan satu aliran.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button