Dunia

Malaysia perlu badan pemantau pastikan setiap peringkat patuhi SOP

Kes harian COVID-19 cecah 5,000 kerana tiada kerjasama semua pihak

Oleh Athirah Huda Zalhe 

BANGI, 19 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Malaysia memerlukan satu badan pemantau bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat dilaksanakan dengan baik. 

Pakar kesihatan awam, Prof Madya Dr Malina Osman berkata, walaupun SOP yang ditetapkan kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah ada, namun pemantauan kepada pematuhannya masih tidak memuaskan. 

Justeru, beliau mencadangkan supaya ada pihak khusus yang memantau dan memastikan pematuhan SOP dilaksanakan di setiap peringkat, termasuk atasan, pertengahan dan lapangan. 

“Saya beri contoh seperti masjid. Masjid adalah antara institusi yang melaksanakan pemantauan yang begitu cemerlang. 

“Bagaimanapun, keadaan itu kita lihat seperti tidak wujud di tempat-tempat lain. Sebab itu, berlaku pertelingkahan mengenai isu pematuhan SOP ini,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini. 

Beliau berkata, pemantauan bukan hanya untuk tujuan mendenda semata-mata, tetapi bagi memastikan komitmen semua pihak dalam melaksanakan SOP yang telah ditetapkan. 

“Kita ada tiga sektor yang perlu memberikan kerjasama dari sudut asas pengurusan wabak ini, iaitu pihak kerajaan sebagai perancang polisi dan menguruskan keseluruhan, agensi-agensi berkaitan yang dipanggil kolaborasi antara sektor dan penglibatan sepenuhnya dari masyarakat. 

“Kita ada SOP, kita ada kerajaan dan MKN yang mengurus, tetapi di pihak lapangan pula hadapi kekangan,” katanya. 

Dr Malina berkata, segelintir masyarakat dan agensi tertentu gagal memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap langkah serta pencegahan yang disyorkan. 

Memberi contoh di tempat kerja, beliau berkata, SOP telah pun dikeluarkan oleh pihak kerajaan, namun pematuhannya masih gagal dilaksanakan. 

“Apa yang kita lihat hari ini (angka kes mencecah 5,000 ke atas) adalah situasi yang disebabkan tiada kerjasama yang kita harapkan daripada pelbagai pihak untuk melaksanakannya. 

“Jadi, berbalik pada konsep asasnya, pengurusan wabak bukan sahaja tanggungjawab kerajaan, tetapi pada setiap strata baik di peringkat tertinggi, pertengahan dan lapangan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button