Berita Utama

Mengapa kerajaan Selangor pilih kasih, permohonan penduduk dapatkan tanah ditolak?

Penduduk Sungai Semungkis kesal air tadahan kini keruh dan tercemar akibat pembangunan tak dipantau

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

HULU LANGAT, 19 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Kerajaan negeri Selangor didesak untuk memberi penjelasan secara telus mengenai status geran hak milik lot Hutan Simpan Selangor Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKPS) dekat Kampung Sungai Semungkis di Hulu Langat, Selangor yang mana air sungainya tercemar akibat pembangunan di kawasan itu.

Naib Presiden Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Masridzi Sat berkata, sungai itu merupakan sumber tadahan air bersih dan kawasan rekreasi bagi penduduk berhampiran.

Namun, ekoran pembangunan tapak perkhemahan atau ‘campsite’ yang dibuat di kawasan berkenaan, ia sekali gus boleh merosakkan ekosistem hutan simpan dan mencemarkan air sungai.

Walhal, tegasnya, penduduk yang membuka pusat penginapan dan resort di sepanjang Sungai Semungkis amat memerlukan air bersih untuk kegunaan harian.

“Kerajaan Selangor mesti memberikan undang-undang yang jelas setakat mana ekosistem hutan ini boleh ditarah atau ditebang.

“Ini kerana kesannya sangat mencemarkan sumber air bersih bagi penduduk di sepanjang Sungai Semungkis ini, bahkan boleh mendatangkan banjir lumpur seperti kes banjir kilat akibat pembalakan beberapa tahun yang lalu.

“Apatah lagi ‘campsite’ yang baru nak dibina tersebut berada dalam lokasi terawal kawasan hutan simpan tadahan air bersih,” dakwanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Ustaz Masridzi mendakwa, pada Jumaat lalu, beberapa resort di sepanjang Sungai Semungkis mendapati air sungai menjadi keruh dan tercemar.

Dakwanya, apabila disiasat penduduk tempatan, didapati sebuah jengkaut sedang bekerja menarah bukit dan membersihkan sungai di jeram Sungai Semungkis.

Berikutan itu, penduduk kampung telah membuat laporan polis berkaitan sungai yang tercemar akibat ekosistem tadahan air bersih dirosakkan.

Memaklumkan perkembangan isu, Ustaz Masridzi berkata, sepasukan polis dari Batu 14 telah hadir menyiasat di lokasi tapak perkhemahan tersebut, namun tidak dibenarkan masuk.

Manakala pada hari Ahad pula, kata beliau, sepasukan penguat kuasa Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat telah datang dan masuk menyiasat, dan dimaklumkan oleh anak kepada pemilik tapak perkhemahan tersebut bahawa tanah mereka memiliki geran daripada kerajaan Selangor.

“Mengikut maklumat dari ketua Kampung Sungai Semungkis, pemilik campsite tersebut telah membeli dari seorang individu yang mana geran tersebut telah dikeluarkan sejak 2012 oleh kerajaan negeri dan sekarang sedang beliau memohon pajakan pula tanah seluas 90 ekar lagi.

“Perkara ini telah menimbulkan banyak persoalan dan tidak puas hati di kalangan penduduk kampung kerana kerajaan negeri Selangor bersikap double standard.

“Adakah kerajaan Selangor melalui pejabat tanah telah mengubah dasar pemilikan geran tanah bagi hutan simpan ini, jika benar kenapa pemohon dahulu ditolak serta diarahkan keluar?,” soal Ustaz Masridzi.

Beliau mempersoalkan tindakan kerajaan yang didakwa memberikan keistimewaan kepada pemilik baru tapak perkhemahan itu, sedangkan penduduk yang lebih lama dan awal masuk memohon tidak dilayan bahkan ada yang didenda.

Bahkan, lebih membingungkan, katanya, apabila pemilik ditanya di mana sempadan tanahnya, pihaknya sendiri tidak tahu dan tidak dapat menjawab soalan penduduk.

“Ini menimbulkan kemarahan dan tidak puas hati di kalangan penduduk setempat. Sungai adalah hak milik bersama tetapi ada penduduk yang datang untuk mandi dihalang melalui sungai tersebut bahkan kawasan sungai telah dipagar oleh pemilik tapak perkhemahan tersebut.

“Adakah berlaku perubahan polisi kepada pentadbiran pejabat tanah di mana sesiapa pun rakyat boleh memohon tanah di situ dan boleh diberi geran atau adakah berlaku salah guna kuasa atau berlakunya rasuah,” katanya lagi.

Justeru, beliau menggesa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menyiasat dengan telus dan memberikan jawapannya.

Beliau berharap suatu penjelasan yang telus dapat diberikan oleh kerajaan negeri Selangor serta pihak berkaitan seperti Pejabat Tanah Daerah, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perhutanan dan lain-lain bagi menyiasat status geran hak milik yang dikeluarkan serta dapat mengambil tindakan sewajarnya dalam menjaga sumber asli kawasan tadahan air, kebersihan sungai serta alam sekitar yang kondusif.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button