Dunia

Rampasan kuasa? Suu Kyi, pemimpin parti kerajaan ditahan

Gangguan sistem komunikasi, media kerajaan juga tak beroperasi

NAYPYITAW, 19 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi dan tokoh kanan lain daripada parti memerintah ditahan dalam beberapa serbuan awal pagi tadi, kata jurucakap Liga Nasional Demokrasi, Myo Nyunt.

Memberitahu kepada agensi berita Reuters, Nyunt berkata, Suu Kyi, Presiden Win Myint dan pemimpin lain telah ditahan. 

“Saya ingin memberitahu semua supaya tidak bertindak balas secara tergesa-gesa dan mahu mereka bertindak mengikut undang-undang.

“Kita harus menganggap bahawa tentera sedang melakukan rampasan kuasa,” katanya. 

Dalam Parlimen Myanmar, tentera diberikan seperempat kerusi dan juga mempunyai proksi iaitu Parti Solidariti dan Pembangunan Union (USDP), yang dijadual berada di ibu negara mulai Isnin.

Difahamkan, bahawa ahli politik dari negeri dan wilayah serta aktivis politik terkemuka juga ditahan.

Rangkaian telefon bimbit mengalami gangguan sementara, manakala media pemerintah juga tidak bersiaran. 

“Oleh kerana kesukaran komunikasi semasa, kami ingin memaklumkan bahawa program MRTV dan Radio Myanmar tidak dapat disiarkan,” kata Myanmar Radio dan Televisyen di laman Facebooknya.

Minggu lalu, pemimpin tentera, Min Aung Hlaing mengancam akan memansuhkan Perlembagaan. Bagaimanapun, wakil tentera menafikan dan mendakwa media mengeluarkan kenyataan Aung Hlaing di luar konteks. 

“Tatmadaw akan mempertahankan Perlembagaan 2008 dan hanya bertindak mengikut batas undang-undang yang ada,” katanya pada Sabtu. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button