Uncategorized

Siasat asal usul COVID-19, WHO kunjungi pasar Wuhan

Saintis sebelum ini tolak dakwaan COVID-19 berasal dari makanan sejuk beku import yang dicemari virus

BEIJING, 19 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkunjung ke pasar makanan laut Huanan di Wuhan China, yang dipercayai kawasan jangkitan awal COVID-19 dikesan.

Kunjungan selama sejam pada Ahad dilakukan bagi menyiasat asal usul wabak COVID-19.

Sebelum ini, pasar berkenaan adalah lokasi pertama dipercayai menyebarkan wabak berkenaan pada Disember 2019.

Para saintis pada awalnya mengesyaki wabak itu berasal dari haiwan liar yang djual di pasar berkenaan dan sejak itu, ia telah ditutup selama 76 hari.

Kumpulan pakar WHO turut mengunjungi pasar Baishazhou – salah satu pasar basah terbesar di Wuhan, dan pameran muzium yang memaparkan sejarah awal COVID-19.

Beijing sangat terdesak untuk menangkis kritikan berhubung kaedah negara itu menguruskan wabak pada peringkat awal.

Satu lawatan oleh para saintis tidak mungkin dapat mengesahkan asal usul wabak.

Kajian ke atas haiwan dipercayai punca wabak adalah salah satu usaha yang memerlukan penelitian bertahun-tahun termasuk mengambil sampel haiwan, analisis genetik dan kajian epidemiologi.

Satu kemungkinan ialah pemburu haiwan liar menyebarkan wabak itu kepada peniaga berada di Wuhan.

Beijing juga telah menyatakan teori dengan sedikit bukti bahawa wabak itu mungkin berpunca daripada makanan laut sejuk beku import yang dicemari virus.

Namun, perkara itu telah dinafikan oleh para saintis dan agensi antarabangsa. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button