Berita Utama

Tanah rizab tergadai, hukum pesalah meskipun ‘orang besar’

Kerajaan jangan biar isu berlarutan tanpa tindakan, kelak terlihat lemah di mata rakyat

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 19 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Gesaan agar kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pengkhianat Tanah Rizab Melayu wajar disokong semua pihak kerana ianya membabitkan keamanan negara. 

Ahli Jawatankuasa Pusat Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Norzaimeen A Kadir berkata demikian susulan laporan terdapat seluas 641.6 hektar Tanah Rizab Melayu di Mukim Sitiawan, Daerah Manjung, Perak didakwa bertukar milik kepada orang Cina sejak tahun 2005.

Sebagai respon terhadap laporan itu, rata-rata pengguna media sosial seperti yang ditinjau Ismaweb.net, baru-baru ini menggesa pihak berkuasa merampas semula Tanah Rizab Melayu itu dan mengambil tindakan tegas ke atas pihak terbabit.

“Status tanah (Tanah Rizab Melayu) diwartakan sebegitu rupa, ada sebab musababnya, ada keperluan dan hikmahnya. 

“Bila ini dicabuli dan dilanggar, hukuman keras mesti diambil supaya rakyat faham dan jelas tentang signifikannya tanah ini, dan peraturan serta undang-undang melindunginya sedemikian rupa,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Mengulas lanjut, Norzaimeen berkata, sekiranya terbukti perlakuan tersebut mempunyai unsur-unsur pengkhianatan terhadap kesejahteraan dan keamanan negara, serta dilakukan dengan tamak dan haloba, maka beliau berpandangan bahawa tidak salah jika hukuman melucutkan kerakyatan seperti disyorkan ramai pihak dikenakan.

“Ini supaya semua pihak lebih berhati-hati dan serik untuk menceroboh kedaulatan undang-undang negara kita. 

“Dan yang lebih penting lagi, supaya ianya menjadi pengajaran kepada semua rakyat, tidak kira siapa pun mereka, sama ada pekerja bawahan atau pun ‘orang besar kerajaan’ jangan sewenang-wenangnya melanggar undang-undang negara. 

“Semua pihak yang terlibat, mesti diambil tindakan tegas demi maruah negara,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan, Tanah Rizab Melayu dan mana-mana tanah yang tergadai, mesti diambil balik secara tegas, serta diganti semula kerajaan-kerajaan negeri.

Jika tiada tindakan dilakukan, katanya, ia membuktikan lemahnya kerajaan dalam memelihara hak rakyat, dan rakyat berhak untuk ‘memberi pengajaran’ kepada pihak yang berkuasa dalam pilihan raya akan datang.

Terdahulu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Perak mendedahkan kawasan seluas 649.19 hektar tanah berstatus Tanah Rizab Melayu di Mukim Sitiawan, Manjung diberikan hak milikan kepada bukan Melayu.

Pengerusi Penyelarasnya, Datuk Hamidah Osman berkata, perkara itu dikesan melalui pencarian rasmi yang dibuat di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak.

Daripada keluasan itu, beliau berkata, sebanyak 317 lot telah dipecahkan dan diberi milikan bagi tujuan pertanian untuk tanaman getah serta kelapa sawit.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button