Berita UtamaDunia

Harga bahan api di Mesir naik 10 peratus

Kenaikan dijangka burukkan lagi krisis kos sara hidup

KAHERAH, 10 Syaaban 1444H, Jumaat – Mesir pada Khamis menaikkan harga petrol sekitar 10 peratus kerana bergelut mendapatkan aliran tunai untuk menangani kemelut ekonomi yang terbeban hutang.

Jawatankuasa Harga Produk Petroleum pada awal Khamis mengumumkan kenaikan harga petrol Octane 80 – varieti paling murah – kepada 8.75 paun Mesir (29 sen AS) seliter daripada 8 paun, dan menetapkan harga diesel pada 7.25 paun seliter.

Keputusan itu juga termasuk kenaikan harga Octane 92 kepada 10.25 paun seliter dan petrol 92 kepada 11.50 paun seliter.

Kenaikan harga baharu itu dijangka memberi kesan kepada harga pengguna, sekali gus memburukkan lagi krisis kos sara hidup lebih 100 juta rakyat Mesir yang kini mengalami inflasi dianggarkan 26 peratus.

Harga makanan dan komoditi asas – kebanyakannya diimport – meningkat lebih dua kali ganda sejak pound Mesir diturunkan nilai pada awal tahun ini, menyebabkan ia kehilangan separuh nilainya.

Ini berlaku selepas Tabung Kewangan Antarabangsa meluluskan ikat jamin dengan Kaherah pada Disember, perjanjian ketiga sejak Presiden Abdel Fattah el-Sisi berkuasa dalam rampasan kuasa tentera 2013.

Nilai pound Mesir berbanding dolar AS turun daripada tujuh pada 2013 kepada hanya melebihi 30 pada masa penerbitan.

Peralihan kepada rejim kadar pertukaran yang fleksibel adalah antara syarat utama IMF untuk mengurangkan inflasi dan menyatukan hutang negara yang semakin meningkat.

Kerajaan Sisi telah menaikkan harga bahan api beberapa kali sejak perjanjian 2016 dengan IMF, termasuk beberapa langkah penjimatan seperti pemotongan subsidi bahan api.

Mesir menerima tranche pertama pinjaman terbaharu IMF bernilai AS$3 bilion pada bulan Disember, dengan satu set syarat ketat di Kaherah supaya pemberi pinjaman boleh meneruskan perjanjian itu dalam tempoh 46 bulan.

Perjanjian itu memerlukan kerajaan menaikkan harga bahan api sejajar dengan perubahan harga minyak global. Mesir telah mengkaji semula harga bahan api setiap suku tahun sejak 2019, sebagai sebahagian daripada komitmen sebelumnya dengan IMF. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button