Berita Utama

Tapak gali emas haram dikesan di Hutan Simpan Ulu Jelai

Dipercayai dianggotai individu berpengalaman melombong emas

LIPIS, 19 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis mengesan sebuah kawasan cari gali emas haram di Kompartmen 86, Hutan Simpan Ulu Jelai, Mukim Batu Yon, di sini kelmarin.

Penemuan itu hasil siasatan dan serbuan dilakukan, namun tiada tangkapan dibuat kerana pelombong haram dipercayai sudah meninggalkan tempat berkenaan.

Pegawai PHD Lipis, Nor Shahrini Nordin Ahmad berkata, serbuan di kawasan itu menemukan tapak khemah sindiket terbabit dipercayai dianggotai antara empat hingga enam individu yang berpengalaman luas dalam melombong emas.

Katanya, pemeriksaan di sekitar kawasan terbabit mendapati kegiatan melombong emas di situ masih baharu dilakukan, kesan aktiviti mengambil pasir dan mengorek batu dalam sungai masih berada pada peringkat awal serta kerosakan permukaan tanah masih pada tahap sedikit.

“Pemeriksaan turut menemui sebuah jengkaut dan lori hantu yang disimpan di satu kawasan kira-kira dua kilometer dari tapak tersebut selain sebuah palong untuk aktiviti tersebut,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Nor Shahrini berkata, semua jentera yang ditemui telah disita dan proses membawa keluar mengambil masa kira-kira 12 jam untuk disimpan di pusat simpanan barangan rampasan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Batu 18 Tersang, Raub.

Katanya, kes itu adalah kejayaan pertama PHD Lipis tahun ini yang sentiasa memberi perhatian serius terhadap kegiatan melombong emas secara haram dan tahun lalu sebanyak lima kes dikesan dan menahan beberapa individu.

Katanya lagi, kegiatan melombong secara haram di dalam hutan simpan bukan sahaja menyebabkan pencemaran sumber air, malah menyebabkan hakisan dan kemusnahan hutan.

Difahamkan terdapat sindiket terbabit menggunakan kemudahan moden untuk mengesan kedudukan kawasan jajaran emas menyebabkan mereka mengeluarkan modal besar untuk menyediakan kelengkapan seperti palong, jentera dan enjin pam air, kata beliau.

“Mereka yang ditahan melakukan kegiatan melombong emas secara haram dalam hutan simpan akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button