Tentera Myanmar rampas kuasa, isytihar darurat setahun
Dakwa pilihan raya umum gagal atasi penyelewengan besar

YANGON, 19 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Tentera Myanmar mengisytiharkan perintah darurat selama setahun, sekali gus menyerahkan kuasa kepada Panglima Angkatan Tenteranya, Jeneral Ming Min Aung Hlaing.
Perkara itu diumumkan di saluran televisyen milik tentera di Myawaddy, selain menyatakan bahawa perintah dilakukan bagi menjaga kestabilan negara, serta mendakwa pilihan raya pada November lalu gagal menangani penyelewengan besar.
Menerusi kenyataan yang ditandatangani Naib Presiden Pertama, U Myint Swe, yang diumumkan sebagai pemangku presiden, Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan (UEC) didakwa gagal menyelesaikan penyelewengan daftar pemilih dalam pilihan raya umum yang diadakan pada 8 November 2020.
Kenyataan itu turut menuduh ‘organisasi parti lain merosakkan kestabilan negara’.
“Disebabkan situasi sekarang harus diselesaikan mengikut undang-undang, maka darurat diisytiharkan,” kata kenyataan itu.
Awal pagi tadi, pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi dan tokoh kanan lain daripada parti memerintah ditahan dalam beberapa serbuan.
Jurucakap Liga Nasional Demokrasi, Myo Nyunt memberitahu agensi berita Reuters, Suu Kyi meminta supaya semua pihak tidak bertindak balas secara tergesa-gesa dan mahu mereka bertindak mengikut undang-undang.
“Kita harus menganggap bahawa tentera melakukan rampasan kuasa,” katanya.