Berita Utama

Vaksin Pfizer tiba di Malaysia 26 Februari

Agihan vaksin fasa pertama dijangka selesai dalam tempoh 2 minggu

KUALA TERENGGANU, 19 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Vaksin COVID-19 yang dibeli kerajaan dari syarikat farmaseutikal, Pfizer dijangka tiba di Malaysia pada 26 Februari ini. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya menjangkakan agihan vaksin fasa pertama itu akan selesai dalam tempoh dua minggu.

“Apabila sampai di pintu masuk antarabangsa, kita akan agihkan vaksin, mungkin dalam tempoh seminggu dua,” katanya seperti dilapor BH Online, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di Wisma Darul Iman.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) menerima lebih 3,000 permohonan untuk menjadi sukarelawan dalam Kajian Klinikal Fasa 3 Vaksin COVID-19.

Katanya, permohonan yang menggalakkan itu menyebabkan pihaknya terpaksa membuat pemilihan dan menapis peserta berdasarkan kelayakan tertentu.

“Kita mahu 3,000 sukarelawan tetapi yang mohon ramai, jadi kita akan pilih dan setakat ini lebih 1,000 sukarelawan sudah disuntik dalam kajian klinikal ini,” katanya.

Pada 24 November tahun lalu, Malaysia mengumumkan akan mendapat bekalan awal 12.8 juta dos vaksin COVID-19 daripada Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button