Berita Utama

Buku bekas Peguam Negara lebih banyak dedah pekung di dada

Tommy Thomas mahu ‘justify’ apa yang dilakukan selama ini betul?

BANGI, 20 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Apa tujuan Tan Sri Tommy Thomas mendedahkan banyak ‘cerita’ dalam biografinya My Story: Justice in Wilderness yang dipasarkan Sabtu, lalu.

Ini kerana biografi bekas Peguam Negara itu lebih banyak mendedahkan pekung di dada termasuk bukti bahawa Tommy adalah lantikan politik, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

“Tommy sebenarnya mahu ‘justify’ apa yang dibuatnya selama menjadi Peguam Negara adalah betul. 

“Dia rasa malu kerana hanya menjadi Peguam Negara tidak sampai sepenggal,” dakwa Puad menerusi kenyataan di Facebook. 

Mengambil contoh ‘cerita’ dalam biografi berkenaan, Puad berkata, Tommy mengaku tidak mendakwa pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik kerana atas arahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bahkan, keputusan melepaskan 12 suspek kumpulan pengganas, LTTE juga setelah mendapat izin daripada Tun Mahathir.

“Dalam kes Muhammad Adib pula, Tommy berkeras tidak mahu mendakwa suspek. Walhal, Koroner Rofiah Mohd memutuskan kematian Adib adalah perbuatan jenayah yang dilakukan oleh dua atau tiga perusuh yang belum dikenali,” katanya. 

Sebaliknya, Puad mempersoalkan mengapa Tommy tidak mengulas mengenai kes-kes berprofil tinggi membabitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Hairan juga, kenapa tidak tulis pasal Lim Guan Eng. Kenapa tidak dedah bagaimana kes Lim Guan Eng digugurkan. Mustahil dia tidak rujuk kepada Mahathir sebelum kes itu dibuang.

“Tommy juga tidak sentuh isu Azmin Ali. Sepatutnya dia bertanya kepada Ketua Polis Negara Hamid Bador, betulkah video itu kabur,” katanya. 

Melihat kepada ‘kisah-kisah’ yang diceritakan dalam biografi berkenaan, Puad merasakan selayaknya Tommy melepaskan jawatan.

“Apa pun elokkah Tommy Thomas letak jawatan. Dia lantikan DAP. Tan Sri Muhyiddin tidak suka DAP. Muhyiddin pun dendam dia kerana tidak dakwa 12 orang penyokong LTTE.

“Justeru Tommy Thomas adalah Peguam Negara terburuk dalam sejarah keadilan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button