Era politik Anwar Ibrahim sudah berakhir
Tokoh liberal sukar diterima Melayu, tak sesuai untuk Malaysia

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 20 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Mahu mengakui kenyataan ataupun tidak, karier politik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hakikatnya sudah berakhir, tegas pemerhati politik, Ustaz Ir Ts Mohd Khoushaini Mohd Naim.
Beliau mendakwa, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang mencecah usia 74 tahun ini sudah tidak lagi relevan dalam arena politik semasa.
Ini kerana, dakwanya, Malaysia memerlukan pemimpin muda yang berwibawa untuk mengangkat agenda Melayu Islam seperti dikehendaki Perlembagaan agar kestabilan politik, ekonomi dan sosial dapat dicapai di era revolusi industri 4.0 kini.
“Saya berpandangan karier politik Anwar sudah berakhir, cukuplah beliau melobi di sana dan sini, dibimbangi negara tergadai kerana kepentingan peribadi,” dakwanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Beliau juga turut senada dengan pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpendapat, bahawa Anwar tidak akan mendapat sokongan orang Melayu kerana beliau dikenali sebagai seorang tokoh membawa pegangan politik liberal.
“Ya betul, Anwar hanyalah tokoh yang diangkat oleh pemain-pemain liberal dan multi racial yang mahu mengubah identiti negara ini.
“Kemerdekaan telah menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah negara republik. Namun, usaha untuk mengubah identiti Melayu Islam negara ini masih berterusan melalui agenda Islam liberal, liberal demokratik dan ‘Malaysian Malaysia’.
“Jadi beliau amat tidak sesuai untuk rakyat Malaysia yang masih menyokong Melayu Islam, demi kestabilan negara,” dakwanya lagi.
Dakwaan yang dibuat Anwar bahawa dirinya cukup sokongan majoriti untuk dipilih sebagai Perdana Menteri pernah dilakukan pemimpin terbabit beberapa kali.
Mengimbau peristiwa pada 2008, bekas Menteri Kewangan berkenaan mendakwa mempunyai sokongan yang mencukupi dalam kalangan Ahli Parlimen, selepas kerajaan diterajui Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu hanya meraih majoriti tipis.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, dakwaan ‘manis’ itu langsung tidak mempunyai asas.
Perkara itu kembali berulang beberapa kali pada tahun lalu selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin menaiki takhta menjadi Perdana Menteri dalam apa yang disifatkan pembangkang sebagai kerajaan ‘pintu belakang’.
Dalam satu sidang media khas pada 23 September tahun lalu lepas, Anwar dilaporkan sebagai berkata, beliau sudah mempunyai jumlah sokongan yang disifatkan ‘kukuh dan meyakinkan’ untuk menjadi Perdana Menteri baharu.
Beliau kemudian diperkenan mengadap Agong pada 13 Oktober, dan telah mempersembahkan dokumen didakwa mengandungi butiran sokongan majoriti Ahli Parlimen yang diperlukan.
Bagaimanapun, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan susulan berkata, Anwar tidak mempersembahkan senarai nama Ahli-ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau.
Sementara itu, awal tahun ini pula, susulan proklamasi darurat, beliau mencadangkan semua Ahli Parlimen untuk menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan seri paduka membatalkan proklamasi darurat dan menitahkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.
Anwar berkata, beliau sudah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen supaya mereka berbuat demikian dalam kadar segera.
Pada 25 Januari lalu pula, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu memfailkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat.