Berita UtamaIstimewa

Hutan di Lipis diceroboh kali ke-6, masih tidak tahu siapa pelaku?

Apakah ada 'deal' dengan pihak-pihak tertentu yang ada kuasa?

BANGI, 20 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Tidak masuk akal apabila identiti syarikat atau ‘taukeh’ kumpulan sindiket yang menjalankan kegiatan melombong emas secara haram masih tidak diketahui.

Walhal, mengikut rekod, pihak berkuasa telah mengesan lima kes sama tahun lalu dan menahan beberapa individu.

Demikian persoalan dibangkitkan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya susulan terbongkarnya kegiatan melombong emas secara haram dengan penemuan kawasan cari gali bahan berharga itu di Kompartmen 86, Hutan Simpan Ulu Jelai, Mukim Batu Yon, Lipis, Sabtu lalu.

Mengulas perkara itu, beliau berkata, kes pencerobohan bagi tujuan perlombongan emas secara haram di hutan bukannya kali pertama berlaku bahkan sudah berkali-kali.

Justeru, beliau menganggap serbuan demi serbuan yang dilakukan seolah-olah kerja sia-sia sahaja apabila kes sama masih berulang.

“Tahun 2020 sahaja, dilaporkan sebanyak lima kes serbuan diadakan. Ini sungguh tidak masuk akal. Pada setiap kali serbuan, dilaporkan pihak berkuasa menyita jentera dan jentolak besar serta alat-alat cari gali.

“Jentera, jentolak dan alat-alat cari gali bukanlah murah. Dan operasi cari gali dengan skala sebegini bukannya boleh dilakukan oleh orang sebarangan tetapi ianya pasti dilakukan oleh syarikat yang besar,” katanya.

Terdahulu, hasil semakan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis berjaya mengesan sebuah kawasan cari gali emas haram di tempat berkenaan.

Pegawai PHD Lipis, Nor Shahrini Nordin Ahmad berkata, serbuan di kawasan itu menemukan tapak khemah sindiket terbabit dipercayai dianggotai antara empat hingga enam individu yang berpengalaman luas dalam kegiatan itu.

Katanya, kes itu adalah kejayaan pertama PHD Lipis tahun ini yang sentiasa memberi perhatian serius terhadap kegiatan melombong emas secara haram dan tahun lalu sebanyak lima kes dikesan dan menahan beberapa individu.

Katanya lagi, difahamkan terdapat sindiket terbabit menggunakan kemudahan moden untuk mengesan kedudukan kawasan jajaran emas menyebabkan mereka mengeluarkan modal besar untuk menyediakan kelengkapan seperti palong, jentera dan enjin pam air.

Serentak itu, Haji Aminuddin mempersoalkan sama ada penceroboh itu – jika sama – terlalu kaya sehingga mampu beli jentera-jentera baharu sebanyak lima kali.

“Jika ini dilakukan oleh penceroboh yang berlainan, apakah di daerah Lipis ini terlalu ramai penceroboh yang pandai melombong emas? Ini baru di Lipis, berapa ramai di seluruh Pahang pula?

“Sudah lima kali serbuan dan ada beberapa tangkapan sebelum ini, mengapa identiti syarikat atau ‘taukeh’ masih tidak diketahui? Apakah ada ‘deal’ dengan pihak-pihak tertentu yang mempunyai kuasa?,” soalnya.

Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) turut menegaskan kegiatan menjarah hasil secara haram di tanah milik kerajaan adalah satu pencurian harta rakyat.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa menjejak penceroboh dan dalangnya serta memberikan hukuman yang setimpal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button