Berita Utama

MB Kedah gesa bakal penerima vaksin hadir janji temu ditetapkan

Ketidakhadiran tanpa alasan wajar perbuatan tak bertanggungjawab

ALOR SETAR, 18 Syawal 1442H, Ahad – Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menggesa mereka yang mendaftar untuk vaksinasi COVID-19 di negeri itu dan telah diberikan tarikh janji temu, agar hadir di pusat pemberian vaksin (PPV) yang ditetapkan bagi menerima suntikan.

Menurutnya, ketidakhadiran mana-mana individu ke janji temu itu tanpa alasan wajar merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh menyebabkan objektif program vaksinasi gagal.

“Diharap selepas ini tiada lagilah yang tidak hadir sebab itu merupakan satu sikap tidak bertanggungjawab kepada diri sendiri,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke PPV Stadium Sultan Abdul Halim, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang baru-baru ini yang memberitahu seramai 10,827 individu berdaftar sebagai penerima vaksin di negeri ini tidak hadir untuk menerima suntikan antara 19 April hingga 22 Mei lepas.

Muhammad Sanusi berkata, menerima suntikan vaksin merupakan satu kewajipan yang harus dipenuhi oleh semua rakyat sebagai usaha memutuskan penularan COVID-19.

Selain itu, beliau turut menggesa rakyat di negeri ini supaya tidak terpengaruh dengan sebarang kenyataan tidak benar mengenai vaksin yang ditularkan menerusi media sosial.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menjalankan saringan secara bersasar di kawasan-kawasan berisiko berjaya mengesan banyak jangkitan COVID-19, sekali gus menyaksikan peningkatan kes di negeri ini sejak beberapa minggu lepas.

“Pengarah Kesihatan Kedah (Dr Mohd Fikri) maklumkan kepada saya sebelum ini yang mereka (JKN Kedah) sememangnya ‘mencari’ di tempat-tempat berisiko dan ada banyak kes dikesan seperti di pasar borong.

“Memang itulah cara yang sepatutnya bagi memastikan penularan COVID-19 ini tidak tersebar ke tempat lain. Sebab itu, kita lihat angka kes baharu (di Kedah) kian meningkat kebelakangan ini,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button