Berita Utama

Malaysia perlu jeneral baharu perangi COVID-19

Ketua Pengarah Kesihatan tak harus terikat dengan isu pandemik saja

BANGI, 20 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Malaysia memerlukan seorang ‘jeneral baharu’ yang akan mengambil alih tugas untuk memimpin usaha kolektif merentas kementerian. 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, fungsi jeneral baharu itu bukan untuk menggantikan peranan Ketua Pengarah Kesihatan, sebaliknya bagi memberikan tumpuan khusus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19. 

Ini termasuk menyelaraskan tindak balas antara semua bidang termasuk kesihatan, keselamatan, kesejahteraan dan ekonomi, katanya. 

“Sudah tiba waktunya kita tidak hanya menganggap apa yang sedang berlaku ini sebagai krisis kesihatan, tetapi sebagai masalah nasional. 

“Setiap kementerian tidak lagi boleh bekerja secara berasingan. Kita memerlukan Czar (pemimpin) baharu dan pendekatan baru bagi memerangi COVID-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Mohamed Khaled berkata, walaupun Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah melaksanakan tugas dengan baik dan wajar dipuji, beliau tidak seharusnya terikat dengan isu pandemik COVID-19 sahaja. 

Katanya, institut dan industri kesihatan jauh lebih besar daripada wabak, bahkan masalah lain juga memerlukan perhatian setimpal. 

“Jeneral baharu dengan idea dan strategi baharu amat diperlukan untuk memimpin pasukan merentas kementerian, pelbagai jabatan dan pelbagai agensi untuk segera bertindak balas terhadap sifat pandemik yang cepat berubah. 

“Kita bakal mempertaruhkan keruntuhan institusi perubatan jika kita meneruskan status quo tanpa sebarang rancangan yang lebih berkesan,” katanya. 

Justeru, beliau menyarankan supaya reformasi institusi dan struktur yang drastik dipertimbangkan. 

“Sememangnya kerajaan cuba melakukan yang terbaik, tetapi tanpa ‘chief in command’ yang berkelayakan untuk menyatu dan menyelaraskan usaha pelbagai pihak, semua ikhtiar tidak akan dapat menghasilkan perubahan yang berimpak besar dan lestari. 

“Ketua Pengarah Kesihatan telah berusaha tanpa lelah untuk mengelakkan Malaysia daripada tenggelam dalam kancah pandemik. 

“Walaupun begitu, mutakhir ini situasi telah berkembang sehingga menjadi isu besar merentas pelbagai bidang di luar kuasa beliau,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button