Berita UtamaDunia

Rakyat Sudan bantah keganasan terhadap penunjuk perasaan wanita

13 wanita didakwa dirogol ketika perhimpunan anti-tentera tahun lalu

KHARTOUM, 6 Syaaban 1443H, Rabu – Ribuan rakyat Sudan berdemonstrasi bagi membantah keganasan terhadap penunjuk perasaan wanita yang menuntut pemerintahan awam sepenuhnya di negara bergolak itu.

Menurut seorang wartawan Agensi Anadolu di lapangan, penunjuk perasaan mengibarkan sepanduk menentang keganasan berasaskan jantina ketika perhimpunan bersempena Hari Wanita Antarabangsa di ibu negara, Khartoum.

Protes pada Selasa diadakan berikutan dakwaan merogol dan mengganggu penunjuk perasaan wanita oleh pasukan keselamatan ketika protes anti-tentera.

Beberapa kumpulan wanita mendakwa 13 penunjuk perasaan wanita telah dirogol oleh tentera ketika perhimpunan anti-tentera pada 19 Disember 2021.

Pihak berkuasa tentera berkata, satu kes rogol telah dilaporkan dan berikrar untuk menyiasat dakwaan itu.

Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan beberapa kumpulan wanita, mereka meminta wanita dan seluruh pejuang kemerdekaan di Sudan untuk menentang semua jenis diskriminasi yang berbeza terhadap wanita, termasuk undang-undang ke atas sekatan dalam penyertaan politik.

Sudan bergolak sejak 25 Oktober 2021, apabila tentera merampas kuasa kerajaan peralihan Perdana Menteri, Abdalla Hamdok dan mengisytiharkan darurat – dalam satu tindakan yang dikecam oleh kumpulan politik sebagai ‘rampasan kuasa tentera’.

Sebelum pengambilalihan tentera, Sudan ditadbir oleh majlis berdaulat pegawai tentera dan awam yang ditugaskan untuk mengawasi tempoh peralihan sehingga pilihan raya pada 2023. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button