Dunia

Tentera Myanmar lantik 11 menteri baharu selepas rampasan kuasa

24 menteri, timbalan dalam Kabinet terdahulu disingkirkan

NAYPYITAW, 20 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Tentera Myanmar mengumumkan rombakan Kabinet apabila 24 menteri serta timbalan sebelum ini disingkirkan menerusi rampasan kuasa tentera di negara itu. 

TV Myawaddy – milik ketenteraan – mengumumkan bahawa pentadbiran tentera melantik 11 menteri baharu dalam pemerintahan bekas Presiden Win Myint untuk fasa pertama. 

Pelantikan baharu itu meliputi portfolio perbendaharaan, kesihatan, maklumat, hal ehwal luar negeri, pertahanan, keselamatan sempadan dan urusan dalaman, menurut pengumuman itu. 

Ahad lalu, tentera Myanmar secara rasmi dikenali sebagai Tatmadaw mengisytiharkan darurat setelah beberapa jam menahan pemimpin de facto dan Penasihat Negeri, Aung San Suu Kyi serta beberapa pemimpin kanan Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD). 

Suu Kyi berkhidmat sebagai pemimpin de facto Myanmar bermula 2016 hingga 2021 berikutan perjuangannya terhadap demokrasi di negara itu, sehingga dinobat Anugerah Nobel Perdamaian pada tahun 1991. 

Bagaimanapun, kepimpinan Suu Kyi dipertikai ekoran sikap membisunya dalam tragedi pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya dan mempertahankan genosid tentera di mahkamah antarabangsa. 

Rampasan kuasa itu berlaku beberapa jam sebelum sidang pertama Parlimen negara diadakan setelah pilihan raya pada November lalu, dimonopoli oleh parti NLD dan Suu Kyi.

Kononnya langkah itu perlu bagi menjaga ‘kestabilan’ negara, selain mendakwa suruhanjaya pilihan raya negara itu gagal menangani ‘penyelewengan besar’ dalam pemilihan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button