Berita Utama

Tiada ancaman siber seperti didakwa Anonymous Malaysia

Harap kementerian akan terus selamat daripada digodam

KUALA LUMPUR, 20 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Sistem pertahanan dan laman-laman web kerajaan berada dalam keadaan selamat daripada sebarang ancaman siber setakat ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ancaman kumpulan hacktivist ‘Anonymous Malaysia’ yang pada minggu lepas mengancam untuk menggodam sistem pertahanan negara serta laman-laman web kerajaan.

“Tiada insiden penggodaman mana-mana laman web kerajaan setakat ini dan kita harap kementerian akan terus selamat daripada digodam,” katanya.

Pada 29 Januari lepas, polis telah membuka satu kertas siasatan terhadap ‘Anonymous Malaysia’ yang memberi amaran kedua untuk melancarkan serangan siber selepas ancaman serupa dibuat pada 2017.

Sementara itu, mengulas mengenai penugasan sekatan jalan raya dan rondaan bersama polis dalam memantau prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ismail Sabri berkata sehingga kini seramai 3,562 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbabit dalam penugasan Operasi Penawar (Op Penawar) itu.

“Seramai 3,027 anggota diatur gerak dalam sekatan jalan raya di seluruh negara manakala 535 anggota lagi terbabit dalam rondaan Unit MPV dan Pasukan Pematuhan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button