Berita Utama

PADU dibangun sepenuhnya penjawat awam, tak babit pihak ketiga

Rafizi sahkan dakwaan Dr Cher tidak benar

BANGI, 27 Jamadilakhir 1445H, Selasa – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menafikan dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif Accio Technologies, Dr Cher Han Lau bahawa syarikatnya terbabit dengan proses pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU).

Dalam kenyataan hari ini, beliau mengesahkan bahawa dakwaan Dr Cher adalah tidak benar setelah semakan dilakukan dengan pasukan di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Rafizi berkata, Pasukan Analitik PADU telah menjemput Dr Cher hanya dalam kapasiti peningkatan kemahiran sumber manusia dalam sains data berdasarkan keupayaan beliau dalam pembangunan data raya dan ‘machine learning’.

“Proses pembangunan PADU, pengumpulan atau pembersihan data PADU tidak melibatkan beliau ataupun sesiapa daripada syarikat beliau.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa PADU dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam tanpa penglibatan mana-mana pihak ketiga,” katanya.

Untuk rekod, PADU dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan kerjasama serta sokongan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri.

Semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button