Berita Utama

Yayasan Ikhlas sumbang hampir suku juta kepada barisan hadapan Selangor

Sumbangan berbentuk PPE, pelitup muka, blood pressure monitor

BANGI, 20 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Yayasan Ikhlas meneruskan usaha membantu meringankan bebanan petugas barisan hadapan yang gigih berkhidmat dalam memerangi wabak pandemik COVID-19. 

Menerusi misi bantuan terbaharu, sebanyak 5,000 peralatan perlindungan peribadi (PPE), 1,000 unit pelitup muka N95 dan ‘blood pressure monitor’ bernilai RM237,500 disumbangkan kepada petugas barisan hadapan di Selangor. 

Penyerahan sumbangan telah disampaikan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ikhlas, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin kepada Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Shaari Ngadiman di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID Bersepadu (PKRCB) di MAEPS, Serdang. 

“Datuk pengarah amat berbesar hati dengan sumbangan ini dan berbesar hati membawa kami menziarahi kompleks PKRC Bersepadu MAEPS yang sedang menampung seramai 5,200 pesakit. 

“Hati ini cukup tersentuh dengan pengorbanan mereka yang bekerja siang dan malam untuk masyarakat dan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Pada masa sama, Dr Zainur Rashid turut memaklumkan beliau memulakan amanah baharu untuk menerajui Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ikhlas secara rasmi hari ini. 

“Mohon doa semua agar kami mampu untuk memberikan khidmat dan sumbangan yang terbaik buat agama, bangsa dan negara. 

“Dengan motto ‘Peduli, Prihatin’, saya mengajak para dermawan, badan korporat dan orang ramai untuk terus menyokong misi-misi sebegini,” katanya. 

Bagi mana-mana syarikat atau persendirian yang ingin menyumbang untuk misi Yayasan Ikhlas boleh melalui akaun Maybank 5628 3463 6228.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button