Artikel Khas

Pintu masjid perlu dibuka lebih luas waktu pandemik

Tiada alasan munasabah had bilangan umat Islam tunai solat di masjid

SEKIRANYA masjid dan surau dikenakan SOP yang ketat bagi ibadah solat, maka SOP yang sama (atau lebih) ketat perlu dikenakan ke atas tempat-tempat awam juga.

Solat di masjid atau surau hanya memakan masa lebih kurang 5 minit sahaja (kecuali Solat Jumaat) dan pergerakan orang-orang yang solat di dalamnya sangat terhad.

Tempat-tempat awam yang terbuka – pasar malam, pasar tani, pusat-pusat membeli belah dan gerai makan tidak ada had atau sekatan pergerakan dan juga tempoh masa di kalangan para pengunjung.

Potensi untuk COVID-19 berkembang atau merebak di tempat-tempat awam ini adalah lebih tinggi berbanding di masjid atau surau. Maka sudah sewajarnya dan adalah munasabah SOP di tempat-tempat ini lebih diperketatkan.

Di saat kita tidak menafikan keperluan masyarakat umum untuk mencari rezeki dan berniaga, kita juga tidak boleh menjadikannya sebagai alasan untuk bermudah-mudah terhadap sekatan pergerakan dan tempoh masa.

Umat Islam yang pergi ke masjid dan surau untuk menunaikan solat lebih menjaga disiplin danmi SOP berbanding dengan masyarakat yang bertumpu dan “berkumpul” di tempat-tempat awam ini.

Masjid dan surau merupakan institusi yang menguatkan hubungan individu secara khusus dengan Sang Pencipta, dan pada waktu yang sama mempunyai dimensi ikatan hubungan masyarakat.

Institusi ini juga boleh dianggap sebagai satu solusi kepada gejala tekanan jiwa (depression) yang dialami oleh segelintir masyarakat yang sangat terkesan dengan pandemik COVID-19.

(Di luar negara sudah ada kes-kes membunuh diri di kalangan para pelajar yang mengalami tekanan jiwa akibat pandemik ini). Antara puncanya ialah masyarakat di sana tidak mempunyai mekanisma atau sistem nilai yang dapat mengawal dan membimbing mereka dari mengambil jalan mudah terhadap masalah dan tekanan yang dihadapi.

Pemerhatian saya setakat hari ini belum terdapat kes-kes positif atau kluster-kluster masjid/surau di kalangan umat Islam yang menunaikan solat di masjid atau surau seluruh Malaysia sejak SOP dikuatkuasakan.

Maka tidak ada alasan munasabah untuk menghadkan bilangan minima tertentu bagi umat Islam yang ingin menunaikan solat di masjid atau surau. Satu prasangka dan persepsi buruk telah disebarluaskan secara tidak langsung ke atas institusi penting umat Islam.

Kenapa tempat-tempat awam  tidak menjadi sasaran prasangka dan persepsi negatif ini?

Pihak berkuasa dan pentadbiran agama Islam di negara patut lebih empati dan berfikiran jauh dalam menentukan kemaslahatan umat Islam.

Umat Islam lebih mudah dan akur mematuhi SOP ketika berada di dalam masjid dan surau berbanding kesukaran untuk mempastikan orang ramai mematuhi SOP di tempat-tempat awam.

Pintu-pintu masjid perlu dibuka lebih luas lagi pada hari ini.

Mohd Luttfi Abd Khalid
Pengerusi Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (iPeguam)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button