Berita UtamaDunia

Bangladesh beli alat intip telefon bimbit dari Israel?

Kontrak syaratkan jual beli tidak didedah kepada umum

DHAKA, 21 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Bangladesh didakwa membeli peralatan pengawasan buatan Israel yang dapat digunakan untuk mengintip telefon bimbit beratus-ratus orang secara serentak, menurut penyiasatan Al Jazeera.

P6 Intercept yang disebut sebagai penangkap IMSI, adalah sejenis teknologi yang sering digunakan oleh pihak berkuasa untuk mengesan peserta semasa tunjuk perasaan melalui telefon bimbit mereka.

Dokumen dan maklumat yang diperoleh oleh Unit Penyiasatan Al Jazeera menunjukkan bahawa, tentera Bangladesh membeli peralatan Israel itu pada tahun 2018 menggunakan orang tengah yang berpusat di Bangkok, Thailand sementara pegawai perisik tentera Bangladesh pula dilatih di Hungary oleh pakar perisikan Israel.

Kontrak yang diperoleh Al Jazeera menyenaraikan syarat bahawa kedua-dua pihak jual beli menandatangani perjanjian tanpa pendedahan.  

Ia juga menyenaraikan negara asal peralatan tersebut sebagai Hungary, walaupun rakaman rahsia oleh Al Jazeera menunjukkan orang tengah secara terang-terangan mengatakan bahawa peralatan tersebut berasal dari Israel.

“Orang di Bangladesh tidak harus tahu bahawa produk ini berasal dari Israel,” kata sumber rahsia Al Jazeera, Sami, yang namanya telah diubah untuk keselamatannya.

Negara Asia Selatan itu memperoleh P6 Intercept sehari selepas Aziz Ahmed, ketua tentera Bangladesh, menjadi ketua kakitangan.

Menteri Luar Bangladesh, AK Abdul Momen, bagaimanapun membantah bahawa pemerintahnya telah memperoleh peralatan tersebut.

“Kami tidak membeli apa-apa dari Israel, dan kami tidak ada kaitan dengan mereka,” kata Momen kepada BBC Bangla.

Bangladesh tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan perdagangan dengannya dilarang.  

Ia mempunyai penduduk muslim keempat terbesar di dunia dan tidak membenarkan warganya pergi ke sana, dengan alasan pendudukan tentera di tanah Palestin.  

Secara rasmi, ia mengatakan tidak akan mengiktiraf Israel sehingga ada negara Palestin yang bebas. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button