Berita UtamaDunia

Netanyahu bentang peta ‘Timur Tengah baharu’ tanpa Palestin

Wilayah Tebing Barat, Semenanjung Gaza dilihat sebahagian dari Israel

NEW YORK, 7 Rabiulawal 1445H, Sabtu – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membentangkan peta baharu yang memadamkan negara Palestin, ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 pada Jumaat.

Ilustrasi itu menunjukkan ‘Timur Tengah baharu’ di mana Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang diduduki dilihat sebahagian daripada Israel.

Memasukkan tanah Palestin (dan kadangkala tanah milik Syria dan Lubnan) dalam peta Israel adalah perkara biasa dalam kalangan penganut konsep Eretz Yisrael – Israel Raya – bahagian penting Zionisme ultra-nasionalis yang mendakwa semua tanah ini milik Zionis.

Semasa pembentangan peta pada Jumaat, Netanyahu dengan penuh semangat mempromosikan pembentukan semula wilayah itu berdasarkan hasrat menjalin hubungan dengan negara Arab, khususnya Arab Saudi.

“Tiada persoalan: Perjanjian Abraham mewar-warkan kebangkitan zaman baru keamanan. Saya percaya kita berada di puncak kejayaan yang lebih dramatik: keamanan bersejarah antara Israel dan Arab Saudi,” katanya.

Kenyataannya dibuat di tengah-tengah rundingan tajaan Amerika Syarikat (AS) antara Israel dan Arab Saudi untuk menormalisasikan hubungan.

Minggu ini, Putera Mahkota Saudi, Mohammed bin Salman mencadangkan supaya mereka mendekati perjanjian sedemikian ‘setiap hari’.

Ketika temu bual dengan Fox News, Putera Mahkota berkata, ‘isu Palestin adalah sangat penting’ dalam perbincangan ini, tetapi tidak mengulas lanjut.

Ketika ditanya apakah konsesi yang beliau jangka Israel akan berikan kepada rakyat Palestin, katanya itu adalah ‘sebahagian daripada rundingan’.

Netanyahu menegaskan, bahawa Palestin tidak boleh diberikan veto ke atas perjanjian damai baru dengan negara-negara Arab.

Ucapannya dibuat sehari selepas Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berucap kepada UNGA yang menegaskan bahawa keamanan Timur Tengah tidak dapat dicapai sehingga rakyat Palestin diberikan hak penuh dengan kenegaraan.

“Mereka yang berfikir bahawa keamanan boleh berlaku di Timur Tengah tanpa rakyat Palestin menikmati hak penuh mereka yang sah dan kebangsaan adalah silap sama sekali,” kata Abbas. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button