Berita Utama

Ahmad Said bimbang Terengganu tak membangun seperti Kelantan

Pengundi PAS diajak sokong BN supaya banyak peruntukan pembangunan disalur

MARANG, 4 Zulhijjah 1444H, Jumaat – Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said tidak menolak kemungkinan negeri ini akan menjadi ‘Kelantan kedua’ sekiranya PAS yang merupakan parti komponen dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau mendakwa, Terengganu akan ketinggalan seperti Kelantan apabila tiada pembangunan bagi meningkatkan ekonomi rakyat dilaksanakan di negeri itu sejak PAS memerintah lebih 30 tahun.

Ekoran itu, ramai rakyat di negeri tersebut terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki kerana tidak banyak peluang pekerjaan disediakan di tempat kelahiran sendiri.

“Kebanyakan rakyat Terengganu tidak mahu keluar (berhijrah), jadi mangsa (tiada peluang pekerjaan),” katanya seperti dilapor Utusan.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Ceramah Perdana Gelombang Biru 2.0 sempena Pelancaran Jentera PRN BN peringkat negeri Terengganu di Alor Limbat dekat sini, malam tadi.

Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata, kemudahan infrastruktur di negeri ini juga ketinggalan seperti di Kelantan sekiranya PAS kekal memerintah negeri ini.

“Di Kelantan, (bekalan) air kuning (keruh) berapa puluh tahun dah, lebih tiga puluh tahun, masih tak selesai,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau berharap pengundi di Terengganu dapat menyokong dan memberi kemenangan kepada BN untuk memastikan negeri ini lebih pesat membangun selepas ini.

Ini kerana, katanya, kemenangan tersebut penting bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri selaras dengan kerajaan Pusat, selain mempunyai hubungan baik bagi menjamin lebih banyak peruntukan pembangunan disalurkan.

“Sebab itu kita nak supaya pengundi yang menyokong PAS untuk Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), beri balik (undi) kepada BN.

“Malah, BN boleh mencapai kemenangan sekiranya 20 peratus ahli UMNO yang menyokong PAS (PRU15) kembali menyokong BN,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button