Berita Utama

Inisiatif Wakaf Air bukan pengganti peranan kerajaan

Kerajaan bertanggungjawab sedia keperluan air kepada rakyat

PUTRAJAYA, 21 Jamadilakhir 1442H, Rabu– Inisiatif Wakaf Air adalah satu usaha kepada perkhidmatan sedia ada, kata Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu menafikan bahawa inisiatif yang dilancarkan pihaknya bersama Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) bertujuan menggantikan peranan kerajaan dalam memberi perkhidmatan bekalan air kepada rakyat di negara ini.

Tuan Ibrahim berkata, perkhidmatan bekalan air yang lebih baik dapat diberikan kepada golongan memerlukan melalui inisiatif itu, yang memberi peluang kepada semua pihak menyumbang dengan penuh keikhlasan.

“Dana wakaf disumbang akan digunakan bagi membiayai projek perkhidmatan air, khususnya di kawasan luar bandar berskala kecil seperti penggalian perigi, penyelenggaraan dan pembelian pam air, penyediaan tangki air mini dan pemasangan paip sambungan dengan sesuatu projek tidak melebihi RM50,000.

“Saya berazam inisiatif ini akan membantu kerajaan menyediakan projek perkhidmatan air yang berskala besar seperti pembinaan projek Takungan Air Pinggiran Sungai, Loji Rawatan Air dan empangan bernilai jutaan ringgit,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, kerajaan perlu menunaikan tanggungjawab dalam menyediakan keperluan air terhadap rakyat, khususnya bekalan air bersih.

Justeru, beliau mengesyorkan supaya kementeriannya mengkaji kebolehlaksanaan mekanisme alternatif penyediaan perkhidmatan bekalan air bersih, terutama di kawasan luar bandar untuk komuniti kecil dengan membabitkan kos yang rendah.

“Instrumen wakaf dicadangkan kerana ia antara instrumen ekonomi Islam yang terbukti keberkesanannya sejak 1,500 tahun lalu.

“Wakaf membuka ruang yang luas kepada sesiapa saja untuk menyumbang dan berperanan dalam proses mensejahterakan kehidupan rakyat.

“Pelaksanaan Wakaf Air menepati Maqasid Syariah iaitu Hifzu al-Nafs kerana penyediaan air bersih adalah untuk menjamin kebersihan dan kesihatan hidup rakyat, tambahan pula air juga selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari,” katanya.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya sudah mengenal pasti lima projek perintis Wakaf Air di empat negeri membabitkan kos keseluruhan RM180,500 di beberapa lokasi sekitar Selangor, Perak, Pahang dan Johor.

Lima projek perintis Wakaf Air itu adalah di Kampung Sungai Congkak, Hulu Langat dan Kampung Sungai Sendat, Ulu Yam, Hulu Selangor di Selangor; Kampung Melayu Seelong, Senai, Johor; Kampung Batu Balak, Jerantut, Pahang dan Manjung, Perak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button