Berita Utama

Lantikan Wan Zulkiflle ke ExxonMobil bukti kehebatan anak Melayu

‘Kepakaran industri globalnya lengkapkan lembaga pengarah’: CEO ExxonMobil

BANGI, 21 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin kerana dilantik menyertai Lembaga Pengarah Exxon Mobil Corporation (ExxonMobil).

Presiden BERJASA, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, pelantikan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) itu merupakan suatu kebanggaan buat negara.

“Semalam baru sahaja kita mendapat berita gembira dari Los Angeles. Tahniah Tan Sri Wan Zul menjadi anak Melayu pertama dan orang bukan warga Amerika pertama yang dilantik menjadi BOD Exxon Mobil.

“Siapa kata anak Melayu kita tidak hebat. Kami menanti kepulangan anda dengan sebuah harapan yang tinggi untuk membina kembali negara menjadi lebih cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Zulkiflee ketika ini adalah Pengerusi Bukan Eksekutif Malaysia Airlines Bhd dan DRB-HICOM Bhd, selain terbabit dalam beberapa inisiatif tertumpu kepada pendidikan serta kepimpinan sektor awam.

“Kami mengalu-alukan Tan Sri Wan Zulkiflee ke dalam barisan lembaga pengarah kami.

“Kepakaran industri globalnya ditambah dengan pandangannya yang berkaitan dengan peralihan tenaga akan melengkapkan lembaga pengarah kami yang sangat berpengalaman,” kata Pengerusi dan CEO ExxonMobil, Darren Woods.  

Dengan pemilihan Wan Zulkiflee, Lembaga Pengarah ExxonMobil akan bertambah menjadi 11 pengarah, dengan 10 daripadanya adalah pengarah bebas.  

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini syarikat itu telah mendapatkan kepakaran lembaga pengarah tambahan dalam bidang sains iklim, pengurusan aset dan risiko, dan pengalaman industri yang relevan.  

Lima pengarah bebas telah dilantik sejak 2016, rata-rata tempoh pengarah untuk ExxonMobil Board adalah di bawah enam tahun, berbanding rata-rata lapan tahun bagi syarikat dalam S&P 500.

Menurut Reuters, syarikat itu melaporkan kerugian tahunan AS$22.44 bilion (RM90.8 bilion) untuk tahun 2020, berbanding dengan keuntungan setahun penuh sebanyak A$14.34 bilion (RM58 bilion) pada tahun sebelumnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button