Berita UtamaDunia

Mesyuarat Kabinet pertama Myanmar selepas rampasan kuasa

Bincang pelan tindakan setelah Myanmar isytihar darurat setahun

KUALA LUMPUR,  21 Jamadilakhir 1442H, Rabu  – Kabinet baharu Myanmar bermesyuarat buat kali pertama pada Rabu selepas rampasan kuasa tentera, lapor Agensi Anadolu.

Menurut satu kenyataan unit maklumat tentera Myanmar, Mesyuarat Majlis Menteri diadakan di istana presiden bersama Panglima Angkatan Tentera dan Presiden Min Aung Hlaing, Timbalan Naib Presiden Myint Swe, dan sembilan anggota Kabinet yang dilantik menggantikan barisan menteri yang disingkirkan pada Selasa.

Mesyuarat itu antara lain membincangkan pelan tindakan yang akan diambil setelah  Myanmar mengisytiharkan darurat selama setahun.

Tentera Myanmar, dikenali Tatmadaw, mengisytiharkan darurat pada Isnin, beberapa jam selepas menahan pemimpin de facto dan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi serta anggota kanan lain parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD).

Isu lain yang turut dibincangkan termasuk pelanjutan perjalanan dan pelancongan domestik, pembukaan kembali kuil dan tempat beribadat, melanjutkan kegiatan sektor ekonomi sesuai dengan langkah-langkah COVID-19, merangsang kembali ekonomi dan meningkatkan peluang pekerjaan, lapor Agensi Anadolu.

Menurut parti NLD Suu Kyi “dalam keadaan sihat” namun tiada maklumat mengenai lokasi beliau ditahan.

Selepas kudeta pada 1 Februari itu, 24 menteri dan timbalan diberhentikan pada Selasa dan 11 menteri baharu dilantik.

Penggulingan kuasa itu berlaku beberapa jam sebelum sesi pertama parlimen baharu negara itu bersidang selepas pilihan raya November yang menyaksikan parti NLD pimpian Suu Kyi menang besar.

Tentera mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya, menyebabkan dominasi NLD di parlimen. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button