Berita Utama

Pelawak veteran Jamali Shadat meninggal dunia

Allahyarham alami masalah kesihatan seperti darah tinggi, kencing manis

KUALA LUMPUR, 21 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Pelawak veteran popular, Datuk Jamali Shadat, 78, menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.15 pagi, hari ini.

Perkara itu disahkan oleh anaknya, Fauzi Jamali, 48.

Berita tersebut turut dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri di Facebooknya sebentar tadi.

“Dukacita dimaklumkan bahawa Datuk Jamali Shadat telah meninggal dunia pagi ini di kediamannya di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah Pelabuhan Klang.

“Perginya seorang seniman. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin.

“Al-Fatihah buat Allahyarham Datuk Jamali Shadat,” katanya.

Allahyarham difahamkan mengalami masalah kesihatan seperti penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Fauzi berkata, bapanya banyak mendiamkan diri, murung dan kerap tidur selepas kematian ibunya, Allahyarham Lela Yacob pada Jun 2018.

Jamali yang dilahirkan di Bukit Kapar, Klang, Selangor, mempunyai lapan anak dan 39 cucu.

Pada zaman kegemilangannya pada 1980-an, pelawak legenda ini cukup dikenali dengan kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama ‘Atan’ bersama Atuknya serta rakan berbilang kaum.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button