Artikel KhasBerita Utama

Pemimpin, bersungguhlah jaga maslahat rakyat

Cara membuat keputusan sebahagian pemimpin kita dengan Imam Al-Mawardi berbeza

DALAM sebuah hadis, Rasulullah ﷺ memberi amaran berkenaan satu beban yang ditanggung oleh mana-mana pemimpin yang memimpin sekumpulan orang Islam. Sabda Rasulullah ﷺ:

ما من امير يلي امر المسلمين ثم لا يجهد لهم وينصح الا لم يدخل معهم الجنة

“Tidak ada seorang ketua yang mengetuai urusan orang Islam, kemudian tidak berusaha (untuk maslahat) mereka dan tidak menasihati mereka, kecuali pemimpin itu tidak akan masuk syurga bersama orang yang dipimpinnya,” (Riwayat Muslim)

Hadis ini sepatutnya menakutkan pemimpin negara kita kerana di bawah mereka, nasib ramai manusia berbanding dengan pemimpin parti kecil, badan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan penduduk dan lainnya.

Tetapi kelihatannya seperti sama ada hadis ini tidak pernah dibacakan kepada mereka oleh penasihat-penasihat mereka atau sudah dibacakan tetapi mereka tidak peduli. Bukan tuduhan tetapi sekadar rasa hati melihat beberapa keputusan yang diambil oleh sebahagian pemimpin negara kita bila berhadapan dengan beberapa isu.

Pusat kepada apa juga keputusan dan polisi yang dilakukan oleh pemimpin negara sepatutnya mesti berpaksikan kepada maslahat yang akan kembali kepada negara dan rakyat. Kaedah popular di dalam politik Islam yang dipersetujui oleh semua imam mazhab adalah kaedah yang wajib diperhatikan oleh semua pemimpin dalam segenap tindak tanduk mereka.

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة

“Tindak tanduk imam (pemimpin) terhadap rakyat hendaklah berkait dengan maslahat mereka (rakyat),”

Dan maslahat itu pula mesti berdasarkan lima keperluan manusia iaitu; agama, nyawa, keturunan, harta dan akal dengan neraca perincian prioritinya yang panjang dibincangkan oleh ulama. Maslahat yang meliputi majoriti rakyat lebih patut diutamakan berbanding dengan maslahat kelompok-kelompok kecil, apatah lagi maslahat peribadi.

Jika maslahat itu mengundang mudarat yang lebih besar pula, hendaklah ditolak maslahat tersebut kerana mudarat yang besar akan menghilangkan maslahat besar yang lain tanpa disedari. Demikianlah, dan amatlah terperinci perbincangan ulama berkenaan mengenai maslahat tersebut.

Pemimpin adalah pemegang amanah. Jangan terlalu merasai sifat keketuaan sehingga akhirnya tidak peduli tentang implikasi dan akibat keputusan-keputusan yang dibuatnya terhadap rakyat. Ambil sikap sebagaimana yang disebut oleh Imam Syafie:

‏منزلة الإمام من الرعية منزلة الولي من اليتيم‏

“Kedudukan imam (pemimpin) di sisi rakyat adalah seumpama kedudukan penjaga di sisi anak yatim,”

Penjaga anak yatim akan sentiasa berhati-hati terhadap setiap sen yang diwarisi oleh anak yatim. Perihatin terhadap nasib dan perkembangan anak yatim yang diamanahkan kepada mereka. Berfikir siang dan malam mencari langkah terbaik untuk maslahat anak-anak yatim tersebut. Menjaga keselamatan mereka. Mendidik mereka hingga mereka mampu berdikari dengan baik.

Maka demikianlah sepatutnya pemimpin dan rakyat. Fikirlah sungguh-sungguh dari segenap sudut sebelum membuat apa juga keputusan atau pengarahan kepada rakyat.

Dalam isu terbaru berkenaan COVID-19 yang sekarang ini dipertikaikan oleh rakyat sebagai contoh, kita oleh melihat beban yang ditanggung oleh rakyat akibat keputusan yang tidak diketahui merujuk kepada maslahat apa.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diisytiharkan tetapi pergerakan beberapa punca kepada penularan COVID-19 masih beroperasi. Kes meningkat naik dan bukannya menurun dari hari ke hari, walaupun sudah dua minggu PKP dilaksanakan di seluruh Malaysia.

Darurat diisytiharkan tetapi ramai yang mempertikaikan apa kaitannya dengan kawalan penularan COVID-19, kerana bila Parlimen tidak bersidang ia mengundang mudarat yang lain pula. Betullah dari satu sudut, ia boleh mengurangkan pergeseran perebutan kuasa yang boleh mengganggu pengurusan COVID-19 secara tidak langsung, tetapi apa alternatif terhadap proses semak dan imbang yang penting dalam perjalanan negara? Pembuatan keputusan di dalam menangani isu COVID-19 itu sendiri perlukan proses semak dan imbang supaya ia dibuat dengan masak dan matang.

Sekolah ditutup di seluruh Malaysia. Kita boleh faham risiko pelajar-pelajar berkumpul beramai-ramai di satu tempat dalam tempoh yang panjang. Persoalannya, apa alternatif yang sudah difikirkan untuk masa depan pendidikan generasi muda? COVID-19 yang sudah hampir setahun, kita sudah tahu rentaknya dan lamanya lagi masa yang akan kita hadapi dengan COVID-19 ini.

Banyak cadangan telah dilontarkan oleh rakyat tentang pendidikan formal ini, tetapi kenapa setelah setahun masih belum ada keputusan yang konkrit tentang bagaimana pendidikan formal ini akan berjalan? Jika kelas ‘online’ dari rumah yang dicadangkan, apa penyelesaiannya kepada masalah lain yang timbul seperti internet yang perlahan, kos peralatan dan data yang membebankan, tekanan kepada ibu bapa yang terpaksa menguruskan kerja dari rumah, di samping menjaga jadual beberapa orang anak yang sedang ‘online’ dan lain-lain masalah yang ditanggung oleh rakyat.

Belum lagi kesan pengurangan bilangan jemaah surau dan masjid untuk solat berjemaah dan Jumaat. Begitu juga dengan terhentinya kuliah-kuliah yang sebelum ini memberi kesan penting kepada pembangunan rohani umat Islam.

Jika berterusan begitu, apa alternatif yang sudah difikirkan untuk pembangunan ruhaniyat umat Islam yang sebenarnya menjadi teras kepada kesolehan masyarakat dan kestabilan kehidupan sosial. Belum masuk masalah pemotongan gaji, dibuang kerja dan lain-lain masalah berkaitan beban kewangan yang ditanggung rakyat.

Amatlah jauh jika dibandingkan dengan cara sebahagian pemimpin negara kita membuat keputusan dan kaedah yang dinukilkan oleh Imam Al-Mawardi. Keputusan semberono tanpa berfikir panjang, kemudian dari semasa ke semasa berubah mengikut tekanan. Sedangkan Imam al-Mawardi menyatakan bahawa di dalam keputusan kecil pun pemimpin kena fikir dan buat keputusan dengan kaedah yang betul. Katanya:

أنه لا يجوز لأحد من ولاة الأمور أن ينصب إماما للصلاة فاسقا‏….ولي الأمر مأمور بمراعاة المصلحة‌‏ ولا مصلحة في حمل الناس على فعل المكروه‏

“Tidak harus bagi pemimpin melantik imam fasiq untuk mengetuai solat …. (ini kerana) pemimpin diperintahkan untuk memelihara maslahat. Tidak ada maslahat dalam membawa orang ramai kepada perbuatan makruh,”

Solat berimamkan orang fasik adalah makruh. Jika keputusan yang membawa kepada perkara makruh pun ditegah, maka apatah lagi jika keputusan itu membawa kepada kemudharatan kepada rakyat.

Akhirnya, wahai pemimpin …. ambillah budaya pemimpin silam sebagaimana yang disebut oleh Imam Izzuddin Ibn Abd Salam dalam katanya:

ولا يقتصر أحدهم على الصلاح مع القدرة على الأصلح

“Mereka (pemimpin Islam) tidak terbatas hanya melakukan perkara baik jika sekiranya mereka boleh melakukan yang lebih baik dari itu.”

Wahai pemimpin … berfikirlah sehabis mungkin sebelum membuat apa juga keputusan. Ikhlas dalam menjaga maslahat rakyat dan bukan maslahat peribadi. Bertakwalah kepada Allah di dalam menjaga maslahat rakyat kerana sana terdapat hisab dan balasan. Rungutan dari rakyat ada nilainya di sisi Allah. Mungkin salah seorang yang akan merungut nanti adalah Makcik Kiah sendiri.

Wallahu a’lam.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Timbalan Presiden Isma

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button