Dunia

Rampasan kuasa: Myanmar bentuk Majlis Pentadbiran Negeri

Dipengerusi oleh Panglima Perkhidmatan Pertahanan, Jeneral Min Aung Hlaing

YANGON, 21 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Pejabat Panglima Perkhidmatan Pertahanan Myanmar mengumumkan pembentukan Majlis Pentadbiran Negeri dengan pelantikan 11 anggota baharu di bawah Seksyen 419 Perlembagaan.

Dipengerusikan oleh Panglima Perkhidmatan Pertahanan, Jeneral Min Aung Hlaing, majlis itu dianggotai 10 yang lain termasuk Naib Jeneral, Soe Win sebagai timbalan pengerusi. 

Majlis Pentadbiran Negeri yang baru dibentuk semalam mengumumkan pelantikan Peguam Negara Kesatuan, Ketua Audit Negara, Gabenor Bank Pusat Myanmar, Menteri Sumber Asli dan Pemulihan Alam Sekitar, Ketua Majlis Pentadbiran di enam bahagian, Ketua Majlis Pentadbiran untuk 12 wilayah dan negeri tidak termasuk Yangon serta Ayeyarwady.

Pada hari sama, Majlis Pentadbiran Negeri meluluskan pengunduran Ketua Polis Myanmar, Leftenan Jeneral Aung Win Oo dan memindahkan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mejar Jeneral Soe Tint Naing untuk berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pejabat Kerajaan Kesatuan. 

Sementara itu, Leftenan Jeneral Than Hlaing dilantik untuk berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pasukan Polis Myanmar. 

Majlis itu turut membentuk Jawatankuasa Pemilihan Kesatuan dengan enam anggota mengikut Perlembagaan. 

Seksyen 419 Perlembagaan memperuntukkan bahawa Panglima Perkhidmatan Pertahanan yang dialihkan kuasa kedaulatannya berhak menggunakan kuasa perundangan, eksekutif dan kehakiman.

Myanmar mengisytiharkan perintah darurat selama setahun dan kekuasaan negara diserahkan kepada ketua tentera, Aung Hlaing pada Isnin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button