Berita Utama

Syor undang-undang khas darurat kekang propaganda subversif, antiraja

Tuduh darurat bersifat politik umpama hina kuasa Agong bawah Perkara 150

BANGI, 21 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Wanita Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mencadangkan supaya satu undang-undang khas darurat diwujudkan demi menjamin keamanan dan keselamatan negara.

Ketua Kluster Wanita PEMBELA, Azlinda Baroni turut menyarankan kerajaan mengembalikan semula Akta Keselamatan Negara Dalam Negeri (ISA), bagi 

mengekang pihak yang cuba menentang pelaksanaan darurat dan mengkucar-kacirkan keadaan.

Beliau berkata, undang-undang khas itu perlu digubal segera bagi menangani situasi yang berunsur subversif sebelum keadaan negara menjadi lebih tidak aman.

“Pendirian saya ialah kekacauan politik sekarang sudah semakin parah dan tidak berpaksi kepada keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang menurut Rukun Negara dan sememangnya telah melanggar asas kenegaraan kita.

“Ditambah dengan ancaman pandemik kepada kesihatan rakyat, maka perlulah institusi diraja kita meneliti kedudukan ini serta menilai semula keberkesanan tampuk pentadbiran negara yang dilepaskan kepada pemain politik tanpa sebarang tanggungjawab di sisi undang-undang Perlembagaan negara.

“Kita tidak mahu situasi seumpama si tikus membaiki labu terus berlaku,” katanya.

Menempelak pihak yang mendakwa pelaksanaan darurat sekadar bersifat politik, beliau menyifatkan andaian itu sebagai tuduhan berat terhadap Yang di-Pertuan Agong dan secara langsung menghina kuasa seri paduka di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Tidak ada peruntukan bagi ‘darurat politik’ dalam peruntukan Perkara 150. Yang ada hanya peruntukan darurat ‘… bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam’.

“YDPA mempunyai kuasa khas dan kuasa budi bicara yang diperuntukkan di bawah Perkara 150. Sudah semestinya kuasa khas dan kuasa budi bicara tersebut dilaksanakan berlandaskan laporan-laporan tertentu yang telah disediakan,” katanya.

Pada masa sama, Azlinda turut menggesa pihak berkuasa segera mengambil tindakan terhadap mereka yang giat menanam persepsi anti-Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan rakyat.

“Pada keadaan seperti ini, dalam keadaan darurat, pihak berkuasa hendaklah melaksanakan tindakan undang-undang dengan serta-merta kepada penghasut dan penyebar fitnah yang memburuk-burukkan dan menghina YDPA dengan segera.

“Kuasa khas YDPA di bawah Perlembagaan Persekutuan bukannya sebarang kuasa yang boleh direndah-rendahkan oleh pihak tertentu atas apa alasan pun,” katanya.

Sebagai negara monarki berperlembagaan, beliau berkata, adalah perbuatan menderhaka yang tinggi bila mana kumpulan tertentu membuat propaganda dan persepsi negatif terhadap Yang di-Pertuan Agong dan kuasa seri paduka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button