Terus mengganas, Zionis robohkan kawasan perlindungan Palestin
PM Palestin sifatkannya sebagai satu bentuk keganasan terancang

TUBAS, 21 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Rejim pengganas Israel pagi tadi merobohkan khemah dan struktur lain di komuniti Khirbet Humsa al-Fouq di Tenggara Kota Tubas, dekat utara Lembah Jordan.
Sumber tempatan mengesahkan bahawa rejim Zionis telah mengepung komuniti itu sebelum menyerbu dan memusnahkan khemah serta bangunan milik Palestin.
Malam semalam, rejim Zionis menghalang aktivis daripada membina tempat perlindungan dari cuaca sejuk di kawasan gurun untuk kira-kira 85 orang penduduk.
Pemusnahan khemah itu dikutuk oleh Perdana Menteri, Mohammad Shtayyeh yang menyifatkannya sebagai satu keganasan yang dirancang membabitkan pembersihan etnik.
Lembah Jordan adalah kawasan barat di sepanjang Sungai Jordan, yang juga tempat tinggal sekitar 65,000 penduduk Palestin serta merangkumi 30 peratus daripada Tebing Barat.
Sejak tahun 1967, ketika rejim Zionis menduduki Tebing Barat, Israel telah memindahkan sekurang-kurangnya 11,000 penduduk Yahudi ke Lembah Jordan.
Rejim Zionis juga telah menetapkan sekitar 46 peratus dari Lembah Jordan sebagai zon ketenteraan tertutup sejak awal penjajahan pada bulan Jun 1967.
Mereka juga telah menggunakan alasan latihan ketenteraan untuk pembersihan etnik dan menyekat pembangunan Palestin di kawasan itu. – Agensi