Berita Utama

Tommy langgar sumpah setia sebagai Peguam Negara

Rais Yatim tempelak tindakan Tommy dedah beberapa perkara dalam bukunya

BANGI, 21 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Tan Sri Tommy Thomas telah melanggar sumpah rahsia sebagai seorang Peguam Negara, demikian tegas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim. 

Beliau berkata demikian susulan penerbitan buku tulisan Tommy berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang dipasarkan, Sabtu lalu.

Menyelar tindakan Tommy, Rais berkata, beliau seharusnya memegang teguh kepada sumpah setia jawatan serta sumpah simpan rahsia ketika dilantik sebagai Peguam Negara.

“Tommy mengangkat sumpah rahsia dan sumpah setia jawatan sebagai bekas Peguam Negara. Di sebalik pendedahan yang dilakukan melalui bukunya, beliau nampaknya telah melangkaui prinsip nama baik dan makna kedua-dua sumpah tersebut,” katanya dalam ciapan di laman Twitter.

Terdahulu, Tommy mendedahkan dalam buku tulisannya beberapa perkara ketika menjadi Peguam Negara.

Dalam buku tersebut, beliau mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad campur tangan dalam pemilihan Perdana Menteri interim selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mencadangkan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyandang jawatan itu.

Selain itu, Tommy turut mendakwa Dr Mahathir sebagai punca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tahun lalu.

Kenyataan Tommy itu disifatkan beberapa pihak sebagai meragui kewibawaan Yang di-Pertuan Agong menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button