Berita Utama

Bapa tiri kanak-kanak mangsa dera pernah didakwa pukul isteri

MELAKA, 22 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Bapa tiri kanak-kanak lelaki tujuh tahun yang ditemukan lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya di sini, Jumaat lepas, pernah didakwa di Mahkamah Majistret atas kesalahan memukul isteri pada September tahun lepas.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali yang mengesahkan perkara itu berkata, polis juga dalam proses melengkapkan kertas siasatan berhubung kes kanak-kanak malang itu dan memohon lanjutan perintah reman lelaki itu bersama isterinya, ibu kandung kanak-kanak itu, yang berakhir esok.

“Kita mengesahkan memang suaminya pernah didakwa memukul isteri dan pihak polis juga sedang melengkapkan kertas siasatan kes ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.

Pada 8 September tahun lepas media melaporkan, bapa tiri kanak-kanak tersebut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya dengan cara memukul bahagian pipi kanan menggunakan tangan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Krubong Jaya, kira-kira 12.30 tengah malam pada 3 Sept 2020 dan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana memukul yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Jumaat lepas, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun meninggal dunia dipercayai akibat didera ibu kandung dan bapa tirinya di Taman Krubong Jaya di sini.

Kanak-kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya dalam kejadian pada kira-kira 4 petang namun siasatan awal polis mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa.

Jenazah kanak-kanak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh, Jasin, kira-kira 12.40 tengah hari Isnin lepas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button