Berita UtamaDunia

Dunia berdepan 4,000 varian COVID-19

Ada penyelidik mula kaji campuran dos vaksin Pfizer dan AstraZeneca

LONDON, 22 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Dunia kini berdepan dengan kira-kira 4,000 varian wabak COVID-19, sekali gus mendorong persaingan untuk menambah baik vaksin.

Ribuan varian telah didokumentasikan sebagai virus bermutasi, termasuk varian dari Britain, Afrika Selatan dan Brazil yang dipercayai lebih cepat menular berbanding yang lain.

Dilaporkan, terdapat penyelidik yang mula mengkaji campuran dos vaksin Pfizer dan AstraZeneca.

Menteri Kesihatan United Kingdom (UK), Nadhim Zahawi berkata, vaksin sedia ada berkemungkinan tidak berkesan untuk varian baharu COVID-19.

“Vaksin sedia ada ini mungkin tidak efektif kepada varian sama ada Kent ( jenis varian) atau varian lain terutama kepada mereka yang menghadapi penyakit kritikal atau dimasukkan ke hospital.

“Semua pengeluar termasuk Pfizer-BioNTech, Moderna, Oxford-AstraZeneca dan sebagainya sedang mengkaji bagaimana dapat menambah baik vaksin.

“Ini bagi memastikan kami bersedia untuk berdepan dengan sebarang varian, yang kini terdapat sekitar 4,000 varian COVID-19 di seluruh dunia sekarang,” katanya.

Britain hari ini melancarkan percubaan untuk menilai tindak balas imun yang dihasilkan jika dos vaksin dari Pfizer dan AstraZeneca digabungkan dalam dua suntikan berjadual.

Data awal mengenai tindak balas imun dijangka dihasilkan sekitar bulan Jun.

Percubaan ini akan memeriksa tindak balas imun dari dos awal vaksin Pfizer diikuti AstraZeneca dan sebaliknya, dengan tempoh selang empat dan 12 minggu. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button