Berita Utama

Henti tohmahan tak berasas terhadap Agong perkenan darurat

‘Walaupun ada pihak cabar darurat di mahkamah, saya percaya Agong faham proses perundangan negara’

KUALA LUMPUR, 22 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Tan Sri Muhyddin Yassin mengingatkan semua pihak supaya berhenti melemparkan tohmahan tidak berasas terhadap keprihatinan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan proklamasi darurat.

Perdana Menteri berkata, kerajaan telah mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selepas baginda berpuas hati bahawa penularan wabak COVID-19 berada di tahap kritikal dan memerlukan pelaksanaan darurat.

Beliau berkata, ia selaras dengan keputusan Jemaah Menteri.

“…Proklamasi darurat yang dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah bertujuan untuk memberikan bidang kuasa tertentu kepada kerajaan untuk mengurus pandemik COVID-19 dengan lebih cepat, cekap dan berkesan,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri hari ini.

Dalam perutusan sama, Muhyiddin berkata, tindakan serta merta sedang diambil kerajaan di bawah peruntukan-peruntukan Ordinan Darurat yang sedang berkuat kuasa.

Katanya, proklamasi darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai tujuan lain selain daripada membendung penularan COVID-19 dengan lebih berkesan dan melindungi nyawa rakyat.

“Walaupun ada segelintir pihak yang cuba mencabar Proklamasi Darurat di mahkamah, saya percaya bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara amat memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button