Berita UtamaDunia

Kes meningkat 85 peratus, Qatar umum sekatan baharu

Hadkan 80 peratus kakitangan yang hadir ke tempat kerja

DOHA, 22 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Bimbang berlakunya gelombang jangkitan kedua, Qatar mengumumkan sekatan baharu di tengah-tengah lonjakan kes coronavirus.

Perkara itu diumumkan selepas peningkatan 85 peratus jumlah kes kemasukan ke hospital pada Januari lalu dibandingkan dengan bulan sebelumnya.

“Kami telah melihat peningkatan 85 peratus pada bulan Januari berbanding Disember dalam jumlah pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital,” kata Ketua Kumpulan Strategi Kesihatan Kebangsaan COVID-19, Dr Abdullatif al-Khal.

Pelan 32 mata yang diumumkan semalam, merangkumi peruntukan untuk mengehadkan 80 peratus jumlah kakitangan yang hadir ke tempat kerja.

Antara lain juga, negara itu menetapkan semula larangan majlis perkahwinan, dengan beberapa pengecualian.

Ketua Unit Penyakit Berjangkit di Hamad Medical Corporation itu turut berkata, pada Disember, Qatar melihat peningkatan kes secara beransur-ansur dan konsisten dalam jumlah jangkitan harian baharu.

Namun yang sangat membimbangkan adalah peningkatan baru-baru ini serta jumlah pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Data beberapa hari dan minggu akan datang akan memberitahu kami lebih banyak, namun kenaikan ini merupakan tanda awal gelombang kedua yang berpotensi di Qatar,” katanya,

Semalam, pihak berkuasa kesihatan mengumumkan 396 kes, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sejak wabak 152,491, termasuk 249 kematian. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button