Berita Utama

‘Kita masih belum gagal’

KKM, MKN telah gariskan 15 pelan strategik tangani COVID-19

KUALA LUMPUR 22 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Malaysia masih belum gagal dalam menguruskan pandemik COVID-19, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memperjelaskan mengenai dakwaan sesetengah pihak berhubung perkara tersebut.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) itu berkata, walaupun ada yang beranggapan negara telah gagal susulan peningkatan kes sehingga empat angka setiap hari, hakikatnya adalah sebaliknya.

“Kita pernah berjaya sekali tetapi kita masih belum gagal, melalui hasil kajian yang dilakukan oleh Lowy Institute iaitu sebuah badan pemikir berpusat di Sydney, Australia terhadap Malaysia berkenaan kecekapan menguruskan COVID-19, Malaysia berada di kedudukan ke-16 daripada 98 negara,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Beliau berkata, kedudukan tersebut mengatasi beberapa negara terkemuka di Asia antaranya Jepun dan Korea Selatan dengan skor diberikan ialah 71 peratus.

Beliau turut menafikan bahawa kerajaan tidak mempunyai pelan strategik bagi menangani COVID-19 seperti dakwaan pihak tertentu.

Ismail Sabri berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) malah telah menggariskan 15 pelan strategik yang diumumkan oleh beliau sendiri pada Selasa lepas.

Ia termasuk lima strategi di bawah Pelan Strategik melalui KKM iaitu termasuk memutuskan rangkaian transmisi, mengurangkan morbiditi dan kematian, memperkukuhkan diagnostik dan survelan, mencapai imuniti kelompok, meningkatkan tingkatkan kesedaran dan pembudayaan normal baharu.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata pemain industri kreatif perlu menyediakan cadangan prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan penggambaran iklan, drama dan filem dibenarkan semula.

“Kita faham, petugas belakang tabir ‘freelance’ amat terkesan. Ada dicadangkan agar sektor ini dibenarkan beroperasi, kita boleh pertimbangkan jika SOP itu dipersetujui KKM dan kita akan putuskan semula,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button