Berita Utama

Najib gagal lagi kemuka bukti baharu dalam rayuan kes SRC

Permohonan memasukkan bukti tambahan tidak penuhi keperluan undang-undang

PUTRAJAYA, 13 Syaaban 1443H, Rabu – Datuk Seri Najib Tun Razak gagal buat kali kedua untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuan ke atas hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atasnya kerana melakukan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Ini adalah selepas panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan bekas perdana menteri itu selepas mendengar hujahan ketua peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk V. Sithambaram.

Lain-lain hakim yang merupakan ahli panel itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh.

Dalam keputusannya, Tengku Maimun berkata, permohonan untuk memasukkan bukti tambahan itu tidak memenuhi keperluan undang-undang.

“Kami berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonan itu. Kami mendapati permohonan ini tidak mematuhi keperluan undang-undang.  Tiada kesilapan untuk dirayu. Dalam keadaan ini, permohonan ini ditolak,” kata Tengku Maimun.

Tengku Maimun berkata, mahkamah tidak nampak bagaimana bukti yang ingin dikemukakan relevan kerana dakwaan berkaitan bukti itu merujuk kepada satu perbicaraan  yang masih belum selesai di Mahkamah Tinggi, iaitu perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bukan kes ini.

“Kami tidak bersetuju dengan perayu (Najib) bahawa kaitan dengan bukti itu perlu dinilai menerusi ‘isu-isu’ berkenaan sahaja tanpa perlu melihat kepada pertuduhan atau pertuduhan-pertuduhan. Pada pandangan kami, isu-isu dalam sesebuah kes adalah sukar untuk dipisahkan hubungannya kepada pertuduhan atau pertuduhan-pertuduhan.

“Isu-isu itu tidak asing dari segi konsepnya daripada isu-isu yang akan dibicarakan dalam sebuah kes sivil yang mengaitkan kembali  punca tindakan merayu dalam rayuan.

“Isu-isu dalam kes jenayah sebagai contoh mengaitkan kembali kepada pertuduhan dan unsur di dalam pertuduhan. Di sini isu yang menjadi persoalan ialah pengetahuan perayu berhubung dana berjumlah RM42 juta itu.

“Kami tidak nampak bagaimana cadangan bukti tambahan relevan kepada pengetahuan tentang isu,” kata beliau sambil menambah permohonan untuk mengemukakan bukti baharu gagal menentukan dengan pasti  bentuk bukti yang akan dikemukakan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button