Mengapa Tommy tak tulis sebab gugurkan kes rasuah Guan Eng?
Isham dakwa Tommy cuba alih tanggungjawab atau salahkan pegawai di bawahnya di Pejabat Peguam Negara

BANGI, 22 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas langsung tidak menjelaskan sebab beliau menggugurkan kes rasuah rakannya, Lim Guan Eng pada 2018 – dalam buku kontroversinya, My Story: Justice in Wilderness.
Walhal, ia adalah suatu perkara penting dalam kariernya, namun tidak ditulis dalam memoirnya yang dilancarkan Sabtu lalu, kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.
“Apa yang ada dalam bukunya yang dekat dengan hal ini adalah satu ayat ringkas sahaja pada muka surat 242 yang membincangkan berkenaan kenyataan-kenyataan media yang dibuatnya di mana ayat tertera dalam bukunya menyatakan bahawa:
“Hanafiah himself released one (media statement) to explain the reasons he took in deciding to withdraw criminal charges against Lim Guan Eng”. Itu sahaja. Tiada yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Isham berkata, Tommy tidak mahu menyentuh isu besar dan penting tetapi sensitif kepadanya dalam buku panjang lebarnya ini, walaupun dia selesa mengutuk pihak lain dalam berkajang-kajang penulisannya.
“Dan bukan sahaja dia cuba mengelak dari isu tersebut, malah dia cuba mengalih tanggungjawab atau menyalahkan pegawai di bawahnya di Pejabat Peguam Negara (Mohamad Hanafiah Zakaria).
“Padahal kuasa untuk menentukan sama ada kes rasuah Lim Guan Eng digugurkan atau tidak adalah terletak di tangan beliau (Tommy Thomas) sebagai Peguam Negara,” katanya.
Melihat perkara itu, beliau percaya, Tommy tidak menulis berkenaan hal ini dalam bukunya kerana beliau amat malu.
“Perkara inilah yang akan diingati oleh ramai orang sebagai legasi Tommy Thomas dalam hidup dan kariernya, dan bukan perkara-perkara lain yang ditulis dalam bukunya,” katanya.