Najis babi punca Sungai Kereh tercemar
Penduduk terpaksa tinggal dalam suasana busuk sejak kira-kira 40 tahun lalu

TASEK GELUGOR, 22 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Analisa yang dilakukan sebuah makmal bebas mendedahkan najis babi yang dilepaskan dari Kampung Selamat adalah punca pencemaran Sungai Kereh, di sini.
Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Badan Bertindak Bantah Pencemaran Sungai Kereh (BBBPSK) mendedahkan perkara tersebut, selepas mendapatkan perkhidmatan makmal bebas bagi menjalankan analisa kualiti air di sungai itu sejak Disember tahun lalu.
Berdasarkan laporan awal analisa makmal terbabit, sudah ada bukti saintifik bagi menyimpulkan punca utama pencemaran Sungai Kereh adalah daripada penternakan babi.
Pengerusi LEKAS, Zikrullah Ismail berkata, bukti yang diperoleh itu memperkukuhkan lagi kenyataan dibuat BBBPSK selama ini.
“LEKAS bertekad memberi advokasi kepada penduduk tempatan sehingga isu ini diselesaikan segera serta mempergiatkan lagi kempen kesedaran kepada masyarakat awam.
“Inisiatif itu dilakukan supaya isu ini dapat difahami berdasarkan fakta yang jelas dan bukan hanya cakap kosong semata-mata, seperti yang didakwa sebahagian pihak tidak bertanggungjawab,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi BBBSK, Abdul Razib Abdul Rahim berkata, pihaknya menganggap pencemaran berkenaan sudah mengambil masa terlalu lama untuk diselesaikan.
Beliau kesal pencemaran najis babi terus berlaku walaupun sudah ada desakan demi desakan dengan kerjasama NGO yang bersama pihaknya.
“Kami ingin tegaskan badan ini akan terus membela penduduk kampung yang telah lebih 40 tahun berdepan dengan isu pencemaran ini sama ada membuat laporan polis atau dengan lebih serius ke pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader pula berkata, pihaknya berharap melalui pemantauan kualiti air sungai secara berterusan, selain pematuhan penternak bagi sistem pelepasan sisa sifar dan penguatkuasaan Enakmen Penternakan Babi (Negeri Pulau Pinang) 2016, isu dapat diselesaikan segera.
Keadaan sungai itu sebelum ini menghantui penduduk sekitar sejak kira-kira 40 tahun lalu, yang mendakwa terpaksa tinggal dalam suasana busuk setiap hari akibat aktiviti penternakan haiwan terbabit.
Difahamkan, terdapat 77 kandang membabitkan 135,000 babi di kawasan penternakan di Tingkat Selamat 1 hingga 11 kampung berkenaan yang dikatakan sudah beroperasi sejak tahun 1980-an.