Berita Utama

PM akan nasihat Agong bubar Parlimen sebaik COVID-19 reda

Pastikan PRU15 juga diadakan dengan selamat

KUALA LUMPUR, 22 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi komitmen beliau akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja penularan wabak COVID-19 reda.

Beliau berkata, tindakan itu sekali gus memastikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dengan selamat.

“Sementara itu, saya menyeru rakan-rakan saya baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, marilah kita bersama-sama berganding bahu dan menggembleng usaha untuk memerangi wabak COVID-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri hari ini.

Susulan kerajaan mengumumkan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 18 Februari ini, Muhyiddin berkata, kerajaan turut akan memantau perkembangan kes-kes harian COVID-19 mengikut sektor dan lokaliti, selain menilai semula keberkesanan PKP yang dilaksanakan sepanjang tempoh dua minggu ini.

“Apapun tindakan atau langkah seterusnya yang akan diambil oleh kerajaan pastinya berasaskan kepada matlamat untuk mengimbangi keperluan menjamin kelangsungan hidup rakyat dan melindungi nyawa anda semua,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT semoga matlamat untuk menang dalam perang melawan COVID-19 akan dimakbulkan dan semua rakyat sentiasa berada dalam limpahan rahmat kasih sayang dan perlindungan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button