Berita UtamaDunia

Polis pula failkan tuduhan pada Suu Kyi

Didakwa atas kesalahan mengikut undang-undang import dan eksport

YANGON, 22 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Polis Myanmar memfailkan tuduhan terhadap pemimpin de-facto yang digulingkan, Aung San Suu Kyi dan meminta penahanannya dibuat hingga pertengahan Februari untuk siasatan.

Pemimpin berusia 75 tahun itu didakwa pada hari Rabu kerana mengimport peralatan komunikasi secara haram.

Beliau didakwa atas kesalahan mengikut undang-undang import dan eksport.

Pasukan keselamatan mendakwa, radio walkie-talkie telah dijumpai ketika serbuan di rumahnya di ibu kota Naypyidaw.

Polis juga memfailkan permohonan ke mahkamah bagi meminta penahanan Suu Kyi ‘bagi menyoal saksi, meminta bukti dan mencari penasihat undang-undang setelah mengajukan pertanyaan kepada tertuduh.’

Akta eksport-import yang terkenal selalu digunakan di bawah bekas rejim ketenteraan untuk memenjarakan tahanan politik.

Secara berasingan, polis memfailkan dakwaan terhadap Presiden Win Myint yang digulingkan atas kesalahan mengikut Undang-Undang Pengurusan Bencana.

Parti Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) Suu Kyi mendakwa, pejabatnya telah diserbu di beberapa wilayah.

Ketika ini, ketenteraan Myanmar mengambil alih pentadbiran kerajaan negara selepas Suu Kyi dan beberapa pemimpin politik ditahan awal pagi 1 Februari. 

Rampasan kuasa berlaku beberapa jam sebelum sidang pertama Parlimen negara diadakan setelah pilihan raya pada November lalu, dimonopoli oleh parti NLD dan Suu Kyi.

Tentera Myanmar mengisytiharkan darurat selama setahun. Kini, kuasa pentadbiran kerajaan diserahkan kepada Jeneral Min Aung Hlaing. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button